Israel ancam serang Iran tanpa AS

Agensi
Julai 15, 2013 11:35 MYT
Israel mengancam sedia menyerang Iran bagi menyekat program tenaga nuklear republik Islam itu tanpa bantuan mana-mana pihak termasuk Amerika Syarikat.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, Iran sudah semakin hampir melampaui batas.
"Mereka (Iran) semakin hampir dengan garis merah tetapi mereka belum mengatasi garisan itu," kata Netanyahu dalam satu temubual bersama CBS News pada Ahad.
"Mereka semakin dekat dan dekat dengan bom (nuklear) itu dan mereka perlu dimaklumkan dengan tegas bahawa hal itu tidak akan dibenarkan berlaku."
Netanyahu menegaskan bahawa kedudukan Israel lebih dekat dengan Iran berbanding Amerika dan kerana itu, ia berdepan ancaman yang lebih bahaya.
"Itu sebabnya kami perlu menangani hal ini iaitu bagaimana hendak menghentikan Iran sebelum Amerika melakukannya," kata Netanyahu.
Netanyahu juga menegaskan bahawa dasar nuklear Iran tidak akan berubah di bawah presiden baru Hassan Rowhani yang akan memulakan pentadbirannya pada 3 Ogos ini.
Israel pada 2 September tahun lalu menggesa masyarkat antarabangsa menetapkan "satu garis merah" untuk Iran berhubung program tenaga nuklearnya.
Presiden Barack Obama dalam reaksinya berkata isu itu melibatkan keputusan hal ehwal keselamatan Amerika dan beliau "tidak akan mengendahkan suara-suara yang bising di luar sana".
Amerika dan Israel sebelum ini beberapa kali mengancam akan mengambil tindakan ketenteraan ke atas Iran bagi menghentikan program pengayaan uranium republik Islam itu yang didakwa melibatkan program persenjataan.
Iran menafikan tuduhan itu dengan menegaskan bahawa ia merupakan negara anggota Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) serta berhak menggunakan teknologi nuklear untuk tujuan keamanan.
IAEA juga sudah beberapa kali membuat pemeriksaan ke atas Iran namun tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan program nuklear berkenaan digunakan bagi tujuan mengeluarkan senjata.
#Amerika Syarikat #Iran #Israel #nuklear
;