Israel, Amerika Syarikat mahu Hezbollah dilabel pengganas
Astro Awani
Februari 5, 2013 07:34 MYT
Februari 5, 2013 07:34 MYT
Israel dan sekutunya Amerika Syarikat masing-masing mahu Hezbollah yang berpangkalan di Lubnan dilabel sebagai kumpulan pengganas.
Ia susulan hasil siasatan mengaitkan kumpulan itu dengan serangan di Burgas yang mengorbankan lima rakyat Israel pada Julai tahun lepas.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata siasatan profesional oleh kerajaan Bulgaria mengesahkan bahawa Hezbollah mendalangi insiden itu.
Dakwanya lagi Hezbollah mempunyai rangkaian di dunia selain bekerjasama dengan Iran.
Bagaimanapun, siasatan mendapati serangan itu tiada kaitan dengan Iran.
Hezbollah, sebuah kumpulan didominasi Syiah dan parti politik muncul susulan serangan Israel ke atas Lubnan pada 1982.
Ia dikaitkan dengan serangan pada setiap kepentingan Yahudi di seluruh dunia selain penculikan ke atas rakyat Israel.
Hasil siasatan yang diumumkan Menteri Luar Bulgaria, Tsvetanov mendapati dua individu yang terlibat dalam serangan itu merupakan
anggota Hezbollah.
Lima rakyat Israel dan seorang pemandu warga Bulgaria terbunuh dalam serangan bom di sebuah bas di bandar Burgas dan serangan tersebut mendapat kecaman Israel dan Lubnan.
Dalam pada itu juga, Amerika Syarikat dan Kanada bukan sahaja mahu Hezbollah dilabel sebagai pengganas tetapi mendesak Kesatuan Eropah (EU) bertindak dengan lebih tegas.
Sehingga kini, Kesatuan Eropah enggan melabelkan Hezbollah sebagai kumpulan pengganas.