Israel ambil langkah elak timbul ancaman selepas kejatuhan Assad - Benjamin Netanyahu
Agensi
Disember 10, 2024 08:15 MYT
Disember 10, 2024 08:15 MYT
JERUSALEM: Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memberitahu, Israel sedang mengambil langkah bagi mengelakkan sebarang ancaman yang mungkin timbul akibat kejatuhan Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Menurut beliau, Israel yang mengikuti pergolakan Syria turut bimbang menilai kesan salah satu perubahan strategik paling signifikan di Asia Barat dalam beberapa tahun.
"Kami mengambil semua tindakan yang diperlukan untuk memastikan keselamatan kami berkenaan dengan situasi baharu yang berlaku di Syria.
"Dan Israel sedang mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat kuasa di rantau kami kerana ia tidak wujud selama beberapa dekad. Mereka yang bekerjasama dengan kami mendapat manfaat yang besar.
"Mereka yang menyerang kita kalah besar. Kami mahu melihat Syria yang berbeza, baik untuk kepentingan kami dan untuk kepentingan rakyat Syria," katanya.
Tambah Netanyahu, kejatuhan Assad menghapuskan satu kubu yang membolehkan musuh ketat Israel, Iran, mempengaruhi rantau tersebut malah kemajuan pesat kumpulan pemberontak juga dilihat menimbulkan risiko.
Oleh demikian, Netanyahu telah mengarahkan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengambil alih zon penampan antara Israel dan Syria termasuk puncak Gunung Hermon, yang dipanggil Hermon Syria.
Netanyahu turut berkata, peningkatan pengasingan Hamas selepas kejatuhan pemerintahan Assad mungkin membuka pintu untuk perjanjian pembebasan tebusan, namun terlalu awal untuk memberitahu sama ada usaha tersebut akan berjaya.
Terdahulu, pegawai Palestin yang mengetahui mengenai usaha perantaraan berkata, Hamas telah meminta pihak berkuasa mula menyenaraikan nama-nama tebusan Israel dan asing yang berada dalam tahanan mereka, sama ada hidup atau mati.