Israel akan tetap serang Rafah
Astro Awani
Februari 15, 2024 10:30 MYT
Februari 15, 2024 10:30 MYT
RAFAH: Sejurus keputusan untuk membenarkan penduduk Palestin menduduki Rafah merangkap sebagai perlindungan terakhir mereka, Israel masih berkeras akan meneruskan serangan terhadap Hamas di bandar itu.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu turut tidak memberi sebarang indikasi bila serangan itu akan berlaku atau ke mana ratusan ribu penduduk yang kini berlindung di Rafah akan pergi.
"Kami akan berjuang sehingga kemenangan berpihak kepada kami dan ini termasuk pihak berkuasa di Rafah juga, selepas kami membenarkan penduduk awam meninggalkan zon pertempuran," kata Netanyahu dalam akaun Telegramnya.
Pemimpin Israel pada hari Rabu lalu berkata sedemikian selepas perbincangan di Kaherah mengenai penangguhan senjata dan pembebasan tawanan yang ditahan oleh Hamas.
Hasil daripada perbicangan itu juga berakhir tanpa keputusan, sekaligus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk Palestin yang kini sedang menetap sementara di Rafah.
Richard Peeperkorn, wakil Organisasi Kesihatan Sedunia untuk Gaza dan Tebing Barat berkata, serangan itu bukan sahaja akan menjadi sebuah "malapetaka yang tak terduga" namun sekali gus turut menjadi sebuah bencana kemanusiaan yang tak dijangka dek akal.
Komen oleh Netanhayu itu turut mendapat perhatian Presiden Perancis, Emmanuel Macron di mana beliau mengutarakan kebimbangan dengan mengatakan tindakannya itu akan merebak ke wilayah serantau.
Setakat ini, seramai 2,000 orang Palestin berlindung di Hospital Nasser di Khan Younis di selatan Gaza telah tiba di Rafah selepas diperintahkan untuk mengosongkan kawasan itu oleh tentera Israel.