Israel akan terus sasar bandar Khan Younis
Astro Awani
Januari 30, 2024 08:15 MYT
Januari 30, 2024 08:15 MYT
TEL AVIV: Israel akan terus mengekalkan tekanan ke atas bandar Khan Younis di selatan Semananjung Gaza.
Jurucakap tenteranya, Daniel Hagari juga mendakwa sepanjang bandar itu menjadi sasaran serangan, IDF telah membunuh lebih daripada 2,000 anggota kumpulan pejuang Hamas di kawasan.
Hagari juga mendakwa, bahawa tentera Israel telah membongkar dua daripada empat batalion Hamas di sekitar bandar berpenduduk padat itu.
Ia turut mendakwa berjaya membongkar kegiatan kumpulan Hamas yang kononnya beroperasi dari dalam puluhan kilometer terowong bawah tanah.
"Di seluruh Khan Younis kami telah menghapuskan lebih daripada 2,000 pejuang Hamas di atas dan di bawah tanah.
"Di samping itu, kami memusnahkan infrastruktur bawah tanah yang ketara, di mana kami menemui kemudahan untuk menahan tebusan, pusat perintah, senjata, kemudahan pengeluaran dan bahan risikan," katanya.
Selain itu, Hagari turut berkata dalam tempoh seminggu lalu, lebih 300 individu yang disyaki terkait dengan kumpulan pejuang Hamas di sana telah ditahan untuk disoal siasat.