“Israel ada hak pertahan diri,” kata Naib Presiden Amerika Syarikat
Agensi
November 2, 2023 07:50 MYT
November 2, 2023 07:50 MYT
LONDON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris kini berada di kota London bagi menyertai Sidang Keselamatan Kecerdasan Buatan (AI) United Kingdom (UK), turut berkongsi pendapat mengenai peperangan yang berlanjutan di Semenanjung Gaza.
Sekalipun, kunjungan Harris tiada kaitan dengan kemelut yang tercetus itu, namun, kesempatan diambil beliau untuk berbincang mengenai perang antara Israel dan pasukan pejuang Hamas dari Palestin dengan Perdana Menteri UK, Rishi Sunak.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Harris mengulangi pendiriannya bahawa Israel memiliki “hak untuk mempertahankan diri.”
Tegas beliau, tidak seharusnya ada “percampuran antara rakyat Palestin dan Hamas” dan “tidak seharusnya ada sasaran yang disengajakan” ke atas orang awam.
Dalam masa sama, Harris berterima kasih kepada Sunak di atas penglibatan dalam konflik itu, termasuk sokongan yang ditunjukkan UK kepada Israel.
“Seperti yang kami tegaskan, Hamas adalah pertubuhan keganasan dan apa yang berlaku di Israel sesuatu yang dasyhat dalam apa saja situasi.”
Ketibaan Harris di Downing Street disambut dengan aksi demonstrasi oleh peserta yang turut mengibar bendera Palestin dan diiringi sorakan “gencatan senjata sekarang.” - Agensi