ISOC tolak dakwaan pelajar Islam Thailand cenderung sokong pemisahan wilayah

Bernama
Jun 18, 2016 21:14 MYT
ISOC berkata, tiada pelajar Thailand di beberapa negara Islam yang cenderung menyokong pemisahan wilayah di selatan negara itu. - Gambar fail
Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri Thailand (ISOC) menolak dakwaan bahawa pelajar-pelajar Thailand di beberapa negara Islam cenderung menyokong pemisahan wilayah di selatan negara ini.
Jurucakapnya Kol Peerawat Saengthong berkata laporan perisikan tidak menunjukkan adanya kecenderungan sedemikian, seperti yang didakwa setiausaha agung Majlis Keselamatan Negara (NSC) Jen Thawip Netniyom baru-baru ini.
"Ia hanyalah suatu pemikiran (tentang pemisahan) oleh sesetengah orang, tapi berdasarkan pemantauan dan risikan agensi keselamatan dan ISOC sendiri, kami dapati tiadanya kecenderungan seperti itu dalam kalangan pelajar Islam di luar negara," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata kerajaan memberi peluang kepada semua rakyatnya untuk memburu kecemerlangan dalam pelajaran tetapi memberi amaran bahawa sesiapa yang didapati mengancam keselamatan Thailand akan dikenakan tindakan undang-undang.
Thawip membuat dakwaan itu pada mesyuarat NSC yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Jen Prawit Wongsuwon, yang juga bertanggungjawab bagi keselamatan dalam negeri Thailand.
Mesyuarat itu turut dihadiri para pegawai tertinggi angkatan tentera Thailand.
Thawip mendakwa lebih 100 pelajar Islam Thailand yang menuntut di beberapa negara Asia Barat, Pakistan dan Indonesia, menyokong usaha pemisahan wilayah di selatan Thailand yang mempunyai majoriti penduduk Islam.
Sementara itu, Thawip berkata tiada maklumat yang pelajar Islam Thailand di Syria, yang kini dilanda peperangan, menyertai kumpulan pengganas Daish.
Lebih 5,000 pelajar Islam Thailand kini melanjutkan pengajian di beberapa negara Asia Barat dan beberapa negara lain dengan mengunakan perbelanjaan sendiri atau mendapat biasiswa daripada negara tuan rumah.
ISOC adalah unit di bawah tentera Thailand yang bertanggungjab bagi keselamatan dalam negeri.
#ISOC #negara Islam #NSC #pelajar Thailand #pemisahan wilayah #selatan thailand
;