Ireland pertimbang musnahkan 200,000 lembu untuk tangani perubahan iklim
Bernama
Jun 19, 2023 05:00 MYT
Jun 19, 2023 05:00 MYT
DUBLIN: Ireland sedang mempertimbangkan untuk memusnahkan kira-kira 200,000 ekor lembu dalam tempoh tiga tahun akan datang dalam usaha mencapai matlamat iklim dan memerangi pemanasan global, memetik memo Kementerian Pertanian lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Perbincangan antara penternak tenusu dan wakil kerajaan sudah dirancang, kata Pat McCormack, presiden Persatuan Pembekal Susu Pejal Ireland.
Beliau berkata, kerajaan Ireland perlu menunjukkan komitmen serta mengemukakan bajet dan program seperti ini hanya boleh dilaksanakan secara sukarela.
Menurut jurucakap kementerian itu, kerajaan tidak akan memaksa dan akan menyediakan tawaran yang menarik dari segi kewangan kepada penternak.
Baru-baru ini, Agensi Perlindungan Alam Sekitar Ireland mengumumkan bahawa negara itu mungkin gagal mencapai matlamat iklimnya.
Antara matlamat itu adalah berkaitan pelepasan dari sektor pertanian yang sepatutnya menurun antara empat hingga 20 peratus menjelang tahun 2030.
Secara keseluruhan, Ireland menyasarkan untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 30 peratus berbanding sasaran pada tahun 2005.
Metana yang dihasilkan oleh lembu dianggap sebagai penyumbang utama kepada gas rumah hijau. - BERNAMA