Ireland janji bantuan tambahan kepada UNRWA susulan pemotongan dana oleh AS
Bernama
Februari 8, 2025 08:30 MYT
Februari 8, 2025 08:30 MYT
Harris menekankan bahawa tiada pengganti bagi peranan UNRWA dan adalah penting untuk agensi itu terus mendapat sokongan. - Foto AP
LONDON: Ireland pada Jumaat mengumumkan bantuan tambahan sebanyak AS$20.7 juta kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) bagi menyokong usaha agensi itu dalam menyalurkan bantuan kepada penduduk di Gaza, Tebing Barat serta pelarian Palestin di seluruh Timur Tengah, lapor Agensi Anadolu (AA).
Dalam satu kenyataan, Menteri Luar Ireland Simon Harris menegaskan bahawa Ireland menyambut baik pembebasan tebusan dan perjanjian gencatan senjata di Gaza serta mengulangi gesaan agar semua tebusan dikembalikan kepada keluarga masing-masing.
"Adalah penting untuk memastikan perjanjian pembebasan tebusan dan gencatan senjata ini dilaksanakan sepenuhnya dalam semua fasa," katanya.
Harris mengumumkan peruntukan EUR20 juta (AS$20.7 juta) kepada UNRWA, mencerminkan "komitmen Ireland dalam memastikan peningkatan ketara dan bermakna bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza pada saat kritikal ini."
Beliau menekankan bahawa tiada pengganti bagi peranan UNRWA dan adalah penting untuk agensi itu terus mendapat sokongan.
"Saya amat bimbang mengenai undang-undang Israel terhadap UNRWA yang berkuat kuasa pada 30 Januari," katanya, sambil menggesa Israel mempertimbangkan semula langkah tersebut.
Pada Oktober tahun lalu, parlimen Israel meluluskan dua undang-undang yang bertujuan menamatkan operasi UNRWA di Israel dan wilayah Palestin yang diduduki serta melarang pihak berkuasa Israel daripada berhubung dengan agensi itu. Undang-undang tersebut berkuat kuasa minggu lalu.
Sejak awal 2023, Ireland telah menyalurkan lebih EUR63 juta (AS$65.4 juta) bagi menyokong rakyat Palestin.
Bantuan terbaru itu diumumkan beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menarik Washington daripada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta melanjutkan larangan pembiayaan kepada UNRWA.
Susulan langkah AS itu, Israel pada Rabu turut mengumumkan penarikan diri daripada Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
-- BERNAMA