Iraq usir Duta Sweden, hentikan operasi Ericsson

Astro Awani
Julai 20, 2023 07:00 MYT
Penunjuk perasaan memanjat tembok Kedutaan Sweden di Baghdad sebagai menzahirkan bantahan terhadap kebenaran membakar al-Quran di Stockholm, 20 Julai 2023. - Gambar AP
KERAJAAN Iraq mengusir Duta Besar Sweden ke negara itu pada Khamis sebagai tanda proses terhadap rancangan membakar kitab suci al-Quran di Stockholm yang turut menyebabkan ratusan penunjuk perasaan menyerbu dan membakar pejabat Kedutaan Sweden di Baghdad.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pemerintah, Baghdad turut memaklumkan memanggil pulang perwakilannya di Sweden, selain kerajaan Iraq turut mengarahkan syarikat telekomunikasi dari Sweden, Ericsson memberhentikan operasi di negara itu.
Terdahulu, kumpulan anti-Islam, termasuk seorang imigran Iraq yang menetap di Sweden yang membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm pada Jun, telah mengemukakan permohonan dan mendapat keizinan pihak berkuasa Sweden untuk membakar kitab suci umat Islam itu di luar Kedutaan Iraq pada Khamis.
Dalam kejadian itu, penunjuk perasaan menendang dan merosakkan sebahagian daripada sebuah buku yang didakwa sebagai al-Quran, namun mereka meninggalkan lokasi sejam selepas insiden itu tanpa membakarnya.
Sementara itu, Menteri Luar Sweden Tobias Billström berkata, kesemua pegawai dan kakitangan di kedutaan negara itu berada dalam keadaan selamat, namun membidas kerajaan Iraq yang didakwa gagal melunaskan tanggungjawab melindungi kedutaan.
Dalam perkembangan sama, kerajaan Iraq dengan tegas mengutuk pembakaran di bangunan Kedutaan Sweden sepertimana disebut Perdana Menteri Mohammed Shia al-Sudani sebagai melanggar pelanggaran keselamatan, dan berjanji akan melindungi misi diplomatik itu.
Namun, Baghdad mengingatkan kerajaan Sweden, apa sahaja perlakuan yang menjurus kepada pembakaran al-Quran di Sweden hanya akan menyebabkan terputusnya hubungan diplomatik.
Di Washington, Jabatan Luar Negeri Amerika Syarikat (AS) turut mengutuk serangan terhadap kedutaan tersebut dan mengkritik pasukan keselamatan Iraq kerana tidak mencegah para penunjuk perasaan yang menawan pos diplomatik tersebut.
Kesatuan Eropah yang sependapat mengutuk serangan itu menegaskan, mereka menanti tindakan keselamatan dalam kadar segera oleh Iraq untuk mencegah insiden serupa daripada berlaku pada masa depan. - Agensi
#Iraq usir Duta Sweden #bakar al-Quran #hentikan operasi Ericsson #kerajaan Iraq
;