Iraq mampu tangani IS tanpa campur tangan asing - Ali Khamenei

Agensi
Oktober 22, 2014 10:32 MYT
ALI: Kami (Iran) akan bersama-sama kamu (rakyat Iraq) untuk mempertahan kerajaan kamu seperti sebelum ini. - Foto AFP
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata, Iraq mampu menangani kemaraan kumpulan militan IS tanpa campur tangan kuasa-kuasa asing termasuk kehadiran tentera darat dari luar negara itu.
Empat bulan selepas kempen ketenteraan yang dilancarkan oleh beberapa negara termasuk Amerika Syarikat yang melancarkan serangan udara di Iraq dan Syria, IS dilihat masih bertahan di kawasan yang dikuasainya di utara dan barat Iraq, malah sedang cuba melebarkan kedudukannya.
Kebimbangan IS akan mara ke pinggir ibu kota Baghdad menyebabkan gesaan oleh beberapa pegawai kerajaan dan pemimpin Sunni Iraq agar campur tangan asing dipertingkatkan termasuk pembabitan tentera darat.
Namun cadangan itu pantas diketepikan oleh Ali yang berkata dia percaya rakyat Iraq “berkeupayaan untuk mengalahkan pengganas dan mewujudkan keselamatan,” sendiri tanpa “perlunya kehadiran kuasa luar."
“Kami (Iran) akan bersama-sama kamu (rakyat Iraq) untuk mempertahan kerajaan kamu seperti sebelum ini,” kata Ali yang dipetik oleh sebuah saluran televisyen selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Iraq, Haidar al-Abadi di Tehran.
“Iran mengiktiraf keselamatan Iraq, jiran dan dan saudara (kami), begitu juga keselamatannya sendiri.”
Dalam usaha membendung serangan kumpulan militan IS pada 9 Jun lalu, Iran sebelum ini telah menghulurkan bantuan senjata kepada masyarakat Kurdish Iraq, selain menghantar penasihat ketenteraan ke Baghdad. Iran bagaimanapun menafikan tenteranya terbabit dalam sebarang operasi darat.
Tehran sehingga kini masih enggan menyertai sebarang pakatan antarabangsa bagi membendung kemaraan militan IS, tetapi melahirkan sokongan untuk kerajaan Syria dan Iraq. Ia juga berpendapat serangan udara semata-mata tidak akan memberikan kesan.
Sebelum kunjungannya ke Tehran, Haidar telahpun menyatakan pendirian Baghdad untuk tidak akan menerima sebarang bantuan dari luar bagi melancarkan serangan darat.
Tanpa merujuk secara terang-terangan terhadap Iran, dia juga memaklumkan tidak akan ada sebarang kuasa serantau yang akan berperang bagi pihak Iraq untuk menentang IS.
#Ayatollah Ali Khamenei #Baghdad #Iran #IS #militan #Syria
;