Iran, Venezuela meterai siri perjanjian kerjasama, belakangkan sekatan AS

Bernama
Jun 13, 2023 04:00 MYT
Raisi tiba di ibu negara Venezuela pada awal Selasa untuk pusingan pertama jelajah tiga negaranya di Amerika Latin selain Cuba dan Nicaragua. - Foto AP
BOGOTA: Presiden Iran Ebrahim Raisi berkata Iran dan Venezuela mempunyai kapasiti untuk mengembangkan jumlah perdagangan dua hala mereka kepada AS$20 bilion, lapor Anadolu.
Raisi tiba di ibu negara Venezuela pada awal Selasa untuk pusingan pertama jelajah tiga negaranya di Amerika Latin selain Cuba dan Nicaragua.
Pada sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatannya dari Venezuela Nicolas Maduro di Caracas pada Selasa, Raisi berkata Iran dan Venezuela boleh mengembangkan jumlah perdagangan sebanyak AS$10 bilion dalam fasa pertama dan meningkat kepada AS$20 bilion dalam fasa kedua daripada kira-kira AS$3 bilion pada masa ini.
"Hubungan antara Iran dan Venezuela bukanlah hubungan diplomatik biasa, sebaliknya hubungan strategik antara dua negara yang mempunyai kepentingan bersama, visi bersama dan musuh bersama," kata Raisi pada sidang media bersama Maduro.
Presiden Iran itu berkata negara itu telah membuktikan persahabatannya dengan negara Amerika Latin itu "semasa hari yang sukar" selama bertahun-tahun dan menyifatkan hubungan dua hala itu sebagai "strategik."
Merujuk kepada pemeteraian 19 perjanjian kerjasama, Raisi berkata kedua-dua negara berazam untuk mengembangkan hubungan ekonomi dua hala mereka.
Beliau turut menggesa supaya laluan perkapalan antara Iran dan Venezuela diaktifkan selain mahu kerjasama antara kedua-dua pihak dalam sektor industri, perlombongan, tenaga dan perbankan diperkukuh.
Kedua-dua Iran dan Venezuela bergelut ekoran sekatan Amerika Syarikat (AS) selama bertahun-tahun, dan untuk itu kedua-dua negara telah mengambil beberapa langkah dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk meluaskan hubungan dan mengelak sekatan.
Sementara itu, Maduro berkata kedua-dua negara berdiri kukuh dan akan "tidak dapat dikalahkan," merujuk kepada penentangan mereka terhadap sekatan AS.
Iran adalah salah satu sekutu utama Venezuela di dunia, dan kedua-dua pemimpin setakat ini telah bertemu sebanyak enam kali.
Pada 2022, Maduro melawat Iran dan menandatangani perjanjian 20 tahun untuk bekerjasama dalam sektor minyak, petrokimia dan pertahanan.
Kedua-dua presiden pada hari Selasa berkata kedua-dua negara telah mencapai persetujuan dalam banyak bidang, termasuk ekonomi, perdagangan, sains, teknologi, tenaga, budaya dan mereka berazam untuk memperdalam dan mengukuhkan hubungan.
"Iran memainkan peranan cemerlang sebagai salah satu kuasa baru muncul yang paling penting dalam dunia baharu," kata Maduro.
Beliau juga berkata pelaburan dalam bidang tenaga, minyak, gas, emas, teknologi, dan kesihatan antara kedua-dua negara perlu ditingkatkan.
Semasa lawatannya, Raisi turut dianugerahkan Pingat Kehormat Negara Venezuela oleh Maduro.
-- BERNAMA
#perjanjian kerjasama #Iran #Venezuela #kesihatan
;