Iran-Syria perkukuh kerjasama pertahanan
Astro Awani
Ogos 26, 2018 07:29 MYT
Ogos 26, 2018 07:29 MYT
Iran memperkukuh hubungannya dengan Syria menerusi kunjungan Menteri Pertahanannya Amir Hatami ke negara berkenaan pada Ahad.
Kunjungan dua hari Hatami itu turut dijangka memuktamadkan beberapa perjanjian termasuk berhubung ketenteraan dan pertahanan baharu melibatkan kedua-dua negara.
Hatami memaklumkan, Iran akan terus menyokong kerajaan Syria bagi memastikan keselamatan di rantau itu dipertingkatkan.
Tegasnya, kerjasama antara dua negara berkenaan tidak akan ditentukan kuasa asing.
"Bukan sahaja rakyat rantau ini, tetapi rakyat dunia turut terhutang budi kepada pertempuran terhadap pengganas di Syria," Hatami dilaporkan berkata kepada Presiden Syria Bashar al-Assad dalam satu pertemuan pada Ahad.
Israel sebelum ini melahirkan kegusarannya berhubung pengaruh Iran di Syria dengan menuduh republik itu cuba memperkukuhkan ketenteraannya dekat sempadan Israel.
Sementara itu, sekutu rapat Israel, Amerika Syarikat terus menekan Iran agar mengundurkan tenteranya dari Syria.