Iran sahkan AS beri jaminan berkaitan pembebasan tahanan, pembebasan aset
Astro Awani
Ogos 16, 2023 08:00 MYT
Ogos 16, 2023 08:00 MYT
TEHRAN: Iran mengesahkan Amerika Syarikat (AS) sudah memberi jaminan berkaitan perjanjian pertukaran tahanan dan pembebasan aset luar negaranya di Korea Selatan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran Nasser Kanaani memaklumkan sehubungan itu, Tehran sudah memindahkan warga AS ke tahanan rumah.
Langkah itu menurut Nasser sebahagiannya untuk meyakinkan Washington.
Iran dan AS berunding selama hampir dua tahun untuk membolehkan negara itu kembali mendapat akses kepada asetnya yang dibekukan di Korea Selatan akibat sekatan.
Jelas Nasser, rundingan menghidupkan Perjanjian Nuklear memberi impak kepada isu pembebasan tahanan dan akses kepada aset yang dibekukan.
"Kerajaan Iran berulangkali menekankan ia tidak pernah menyimpang daripada rundingan menerusi saluran diplomatik.
"Sejak Presiden Ibrahim Lehi mengambil alih pentadbiran, kami memutuskan untuk bertindak menerusi dua kaedah, untuk menghapuskan impak sekatan sementara berunding membatalkan sekatan unilateral dan tidak adil ke atas Iran," katanya.
Iran memeterai Perjanjian Nuklear dengan kuasa dunia pada 2015.
Ia menyaksikan republik itu setuju mengenakan had ke atas program nuklearnya sebagai syarat untuk blok barat menarik semula sekatan ke atasnya.
Bagaimanapun pada 2018, AS di bawah pentadbiran bekas Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian itu dan mengenakan semula sekatan ke atas Iran.
Sejak 2021, rundingan untuk menghidupkan semula perjanjian berlangsung di Vienna, namun tiada sebarang perkembangan dicatatkan.
Sementara itu, Setiausaha Negara AS tegaskan pendekatan negara itu ke atas Iran kekal tidak berubah, biarpun selepas perjanjian pembebasan tahanan dicapai.
Menurut Anthony Blinken, Washington akan meneruskan strategi diplomasinya.
Blinken mengulangi kenyataan biarpun Iran kini mempunyai akses kepada dana di Korea Selatan, masih ada sekatan dikenakan terhadap penggunaannya.
"Wang yang akan diakses Iran, hanya dibenarkan untuk penggunaan kemanusiaan semata-mata dan ia akan dikawal.
"Iran tidak akan mempunyai akses langung terhadap dana ini, kerana ia akan dipantau AS," katanya.
Minggu lalu, Iran umum akan membebaskan lima tahanan AS, sebagai pertukaran untuk Washington menyahbeku asetnya di Korea Selatan.