Iran mulakan siasatan nahas helikopter Presiden Raisi

Bernama
Mei 21, 2024 14:30 MYT
Delegasi yang diketuai oleh Brigedier Ali Abdollahi telah dihantar ke lokasi kejadian dan siasatan telah pun bermula. - Foto Reuters
TEHRAN: Iran telah memulakan siasatan berhubung nahas helikopter yang mengorbankan Presiden Ebrahim Raisi dan rombongannya dalam kejadian di barat laut negara itu, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Bagheri telah menugaskan delegasi berpangkat tinggi untuk menyiasat kes itu.
Delegasi yang diketuai oleh Brigedier Ali Abdollahi telah dihantar ke lokasi kejadian dan siasatan telah pun bermula.
"Hasil siasatan akan diumumkan kemudian apabila misi selesai," lapor IRNA.
Presiden Iran, Ibrahim Raisi dalam penerbangan pulang dari satu majlis perasmian empangan di sempadan Iran dengan Azerbaijan pada Ahad apabila helikopter dinaikinya terhempas di Varzaqan, barat laut Iran, pada Ahad.
Menteri Luar Hossein Amirabdollahian dan beberapa pegawai kanan wilayah turut berada dalam helikopter yang sama dan kesemuanya terkorban.
-- BERNAMA
#nahas helikopter Iran #Ebrahim Raisi #siasatan #Hossein Amirabdollahian
;