Iran mula serang pangkalan tentera AS, puluhan peluru berpandu dilancar

Nailah Huda
Januari 7, 2020 07:50 MYT
Iran melancarkan serangan udara terhadap beberapa pangkalan udara di Iraq yang menempatkan tentera Amerika Syarikat. -Foto fail
IRAN melancarkan serangan peluru berpandu ke atas beberapa pangkalan udara di Iraq yang menempatkan tentera Amerika Syarikat (AS) pada jam 3 pagi Selasa waktu tempatan.
Antara yang menjadi sasaran ialah pangkalan udara Al Asad di barat Iraq dan Irbil di sebelah utara.
Serangan tersebut disahkan oleh Jabatan Pertahanan AS dalam satu kenyataan oleh Jonathan Hoffman, pembantu kepada Setiausaha Urusan Awam Pertahanan.
Namun, tiada maklumat mengenai kematian atau kecederaan akibat serangan itu dilaporkan setakat ini.
"Ketika kami menilai situasi dan tindak balas yang akan diambil, kami akan mengambil semua langkah yang perlu bagi melindungi dan mempertahankan anggota dan sekutu AS di rantau itu," menurut kenyataan Hoffman.
BACA: [LANGSUNG] Iran mula serang pangkalan tentera AS
Setiausaha Akhbar White House Stephanie Grisham menerusi Twitter mengesahkan bahawa Presiden Donald Trump telah dimaklumkan mengenai serangan itu dan kini memerhati rapat situasi terkini sambil mendapat nasihat pasukan keselamatannya.

We are aware of the reports of attacks on US facilities in Iraq. The President has been briefed and is monitoring the situation closely and consulting with his national security team.

— Stephanie Grisham (@PressSec) January 7, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Pagi ini, pejuang Tentera Udara IRGC melancarkan Operation Martyr Soleimani dengan kod ‘Oh Zahra’ yang menyerang menggunakan berpuluh peluru berpandu dari darat ke darat terhadap pangkalan kuasa teroris AS,” lapor media rasmi Iran ISNA, menurut ABC.
Susulan laporan mengenai serangan tersebut, harga minyak mentah dilapor meningkat hampir 4 peratus.
Pada Selasa, Setiausaha Pertahanan Mark Esper dalam satu taklimat menegaskan bahawa AS bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang serangan yang dilancarkan Iran.
“Kepada rakan sekutu dan rejim Iran, saya ingin kata bahawa kami tidak ingin memulakan peperangan bersama Iran, namun kami bersedia untuk mengakhirinya,” kata Esper.
Ketegangan di antara AS dan Iran memuncak susulan pembunuhan jeneral tertinggi Iran, Jeneral Qassem Soleimani dalam serangan udara AS berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad pada Jumaat.
#Al Asad #Amerika Syarikat #Baghdad #Hassan Rouhani #Iran #Jeneral Qassem Soleimani #pangkalan udara Al Asad #Presiden Donald Trump
;