Iran letak 3 syarat kepada AS sebelum kembali ke meja rundingan nuklear
Astro Awani
November 8, 2021 07:33 MYT
November 8, 2021 07:33 MYT
TEHRAN: Iran meletakkan tiga syarat kepada Amerika Syarikat sebelum mereka kembali ke meja rundingan nuklear yang dijangka berlangsung hujung bulan ini.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Saeed Khatibzadeh tegaskan, ini susulan sikap Amerika Syarikat yang berdolak dalih sebelum ini.
Jelas Tehran, syarat ini sebagai jaminan Amerika Syarikat tidak akan lagi mengulangi tindakan menarik diri daripada rundingan sebelum ini.
Justeru, ia meminta segala sekatan yang dikenakan ke atas Iran dibatalkan.
Republik itu juga mahu jaminan tiada pihak dalam rundingan itu akan menarik diri.
"Laluan untuk Amerika Syarikat kembali kepada meja rundingan ini adalah jelas. Pertama mereka harus memperakui mereka yang bertanggungjawab ke atas situasi ketika ini.
"Mereka juga perlu memberi pampasan atas kesilapan tindakan mereka, dengan menarik semula sekatan yang dikenakan selepas menarik diri daripada rundingan itu.
"Paling penting, mereka perlu memberi jaminan tiada lagi pentadbiran Amerika Syarikat yang akan mempermainkan undang-undang antarabangsa dan mengulangi tindakan mereka," katanya.
Rundingan tidak langsung antara Iran dan Amerika Syarikat tertunda seketika selepas Pilihan Raya Presiden, dan dijangka disambung semula 29 Novemver ini.
Rundingan tertumpu kepada usaha mengembalikan semula perjanjian nuklear yang dimeterai pada 2015.
Amerika Syarikat tarik diri daripada perjanjian itu di bawah pentadbiran bekas Presiden Donald Trump pada 2018.
Ia kemudian kenakan sekatan ke atas Iran.
Perkembangan ini kemudian menyebabkan Iran meneruskan proses pengayaan uraniumnya ke tahap penghasilan senjata, yang mana mencabuli perjanjian itu.