Iran lantik duta besar wanita pertama, bakal bertugas di Malaysia
AFP
November 9, 2015 16:22 MYT
November 9, 2015 16:22 MYT
Sejak revolusi Islam tahun 1979, buat kali pertama Iran melantik seorang wanita sebagai duta besar dan bakal menjalankan khidmatnya di Malaysia.
Pada Ahad, Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif mengumumkan bahawa Marzieh Afkham bakal mengetuai kedutaan mereka.
“Memilih Afkham sebagai duta besar hanya mengambil beberapa minit namun memilih pengganti di kedudukannya mengambil masa hingga empat bulan,” kata Zarif dalam sebuah majlis di Tehran.
Afkham, 50, yang sebelum ini pegawai diplomat pernah dilaporkan bakal dinaikkan ke jawatan duta besar oleh media tempatan namun tiada pengesahan mengenainya.
Zarif berkata, pelantikan Afkham adalah suatu penghormatan kerana beliau sebelum ini merupakan wanita pertama dalam republik Islam itu yang menggalas tugas jurucakap Kementerian Luar Iran selama dua tahun dengan ‘ bermaruah, keberanian dan berpandangan jauh’.
Afkham pula memuji Zarif kerana mengambil keputusan yang membuktikan kepercayaannya kepada kemampuan wanita.
Selepas pilihan raya tahun 2013, Presiden Hassan Rouhani yang membawa konsep kesederhanaan telah memberitahu siding menteri supaya mengangkat wanita ke jawatan tinggi selain berkata bahawa kerajaannya sama sekali tidak mendiskriminasi.
Walaupun dilihat lebih liberal berbanding negara-negara Arab lain, undang-undang Iran sejak revolusi sering dikritik kerana menindas wanita dalam hal-hal perkahwinan, perceraian dan pewarisan.
Walaupun wanita kini banyak memegang jawatan penting termasuk di parlimen dan cabinet, mereka masih tidak boleh bertugas sebagai hakim dan tidak dibenarkan bertanding jawatan presiden.