Iran lancar tiga satelit serentak ke orbit
Bernama
Januari 28, 2024 18:15 MYT
Januari 28, 2024 18:15 MYT
TEHRAN: Iran secara serentak melancarkan tiga satelit yang dibangunkan negara itu ke orbit menggunakan roket pembawa satelit Simorgh.
Menurut Agensi Berita Iran IRNA, satelit penyelidikan Mahda, Keyhan-2 dan Hatef-1 ditempatkan di orbit pada jarak antara 450 dan 1,100 kilometer (km) di atas permukaan Bumi pada Ahad.
Mahda merupakan satelit penyelidikan yang dibangunkan dan diuji di Pusat Penyelidikan Angkasa Iran. Dengan berat 32 kilogram (kg), satelit itu direka untuk menilai subsistem satelit canggih.
Misi utama Mahda adalah untuk mengkaji prestasi roket pembawa satelit Simorgh dalam melancarkan pelbagai muatan angkasa dan menilai teknologi angkasa tempatan yang baharu.
Pada 20 Jan, Agensi Angkasa Iran mengumumkan kejayaan menempatkan satelit buatan sendiri ke orbit Bumi.
Satelit yang diberi nama Sorayya ditempatkan ke orbit, 750 km di atas permukaan Bumi.
-- BERNAMA