Iran kecam sekatan baharu AS, anggap tidak sah

Astro Awani
Oktober 13, 2024 07:30 MYT
Baghaei berkata, sekatan tersebut akan membolehkan Israel terus membunuh orang yang tidak bersalah dan mengancam keamanan serta perpaduan di rantau ini dan dunia. - Foto X/@UKikaski
TEHRAN: Iran mengecam sekatan terbaharu Amerika Syarikat (AS) yang dianggap tidak sah, selepas menyasarkan industri minyaknya berikutan serangan peluru berpandu dilancarkan Tehran ke Israel, awal bulan ini.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei dalam satu kenyataan mempertahankan serangan Tehran terhadap Israel dan mengutuk sekatan tersebut, dengan menyifatkan tindakan Washington sebagai tidak wajar.
Jumaat lalu, AS mengenakan sekatan baharu terhadap industri minyak dan petrokimia Iran sebagai tindak balas kepada serangan yang dilakukan Tehran terhadap Israel pada 1 Oktober lepas.
Baghei mempertahankan serangan Iran ke Israel sebagai sah dan menegaskan haknya untuk bertindak balas terhadap sekatan baharu itu.
Beliau menegaskan, dasar ancaman dan tekanan maksimum tidak memberi kesan kepada kehendak Iran untuk mempertahankan kedaulatan, integriti wilayah, kepentingan negara dan rakyatnya daripada sebarang pelanggaran serta pencerobohan asing.
Baghaei berkata, sekatan tersebut akan membolehkan Israel terus membunuh orang yang tidak bersalah dan mengancam keamanan serta perpaduan di rantau ini dan dunia.
Gelombang sekatan baharu ini menyusul ketika mana dunia menanti reaksi Israel terhadap serangan peluru berpandu Tehran, dengan harga minyak mencapai paras tertinggi sejak Ogos lalu.
#sekatan #serangan #Israel #Iran
;