Iran jatuhkan 354 hukuman mati sehingga Jun 2023

Astro Awani
Julai 3, 2023 06:15 MYT
Tehran didakwa meningkatkan hukuman mati untuk menyebarkan ketakutan kepada seluruh rakyat susulan gerakan protes selepas kematian seorang wanita, Mahsa Amini. - Foto fail/AP
TEHRAN: Pihak berkuasa Iran melaksanakan hukuman mati terhadap sekurang-kurangnya 354 individu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Perkara itu didedahkan sebuah kumpulan hak asasi manusia Iran yang berpangkalan di Norway.
Menurut kumpulan itu, kadar hukuman mati yang dilaksanakan di negara itu lebih tinggi, berbanding tahun lalu.
Kumpulan hak asasi manusia itu mendakwa Tehran meningkatkan hukuman mati untuk menyebarkan ketakutan kepada seluruh rakyat susulan gerakan protes yang tercetus September lalu selepas kematian seorang wanita, Mahsa Amini, yang ditahan kerana didakwa melanggar peraturan kod pakaian untuk wanita.
Ia menambah, seramai 354 orang dikenakan hukuman mati bagi tempoh enam bulan pertama iaitu sehingga 30 Jun, meningkat 36 peratus bagi tempoh sama pada 2022, dengan jumlah yang menerima hukuman itu seramai 261 orang.
Mereka melahirkan kebimbangan mengenai kumpulan etnik bukan Parsi yang terjejas secara tidak seimbang akibat hukuman mati di Iran.
Kata kumpulan itu, 20 peratus daripada semua hukuman mati adalah dalam kalangan etnik minoriti Baluch.
Seramai 206 orang dikenakan hukuman mati atas tuduhan berkaitan dadah, meningkat 126 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Tambahnya, enam wanita antara yang dihukum mati dalam tempoh itu, manakala dua lelaki menjalani hukuman gantung secara terbuka.
Pengarah Hak Asasi Manusia Iran (IHR) Mahmood Amiry-Moghaddam berkata, hukuman mati digunakan untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat dan menghalang lebih banyak protes.
Menurutnya, majoriti mereka yang terbunuh adalah mangsa defendan dadah berasal dari komuniti paling terpinggir.
Sebelum ini, IHR pada awal tahun ini melaporkan Iran menjalankan 582 hukuman mati pada 2022, angka tertinggi di republik Islam itu sejak 2015.
Menurut Amnesty International, Iran adalah negara yang merekodkan hukuman mati kedua terbesar di dunia selepas China.
China bagaimanapun tidak mendedahkan data mengenainya.
Pihak berkuasa Iran menjatuhkan hukuman mati ke atas tujuh lelaki bagi kes berkaitan protes, dengan kumpulan hak asasi manusia memberi amaran sekurang-kurangnya tujuh lagi ditahan kerana demonstrasi itu berisiko untuk dikenakan dihukum mati.
#hukuman mati #etnik bukan Parsi #protes #tuduhan berkaitan dadah
;