Iran hukum penjara 10 anggota tentera tembak jet Ukraine pada 2020

Bernama
April 17, 2023 12:29 MYT
Mahkamah tentera menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun ke atas komander pertahanan udara selepas 20 kali perbicaraan. -Reuters
TEHRAN: Iran menjatuhkan hukuman penjara ke atas 10 anggota tenteranya berhubung kejadian menembak jatuh pesawat penumpang Ukraine dengan tembakan antipesawat sejurus selepas ia berlepas dari Tehran tiga tahun lepas.
Mahkamah tentera menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun ke atas komander pertahanan udara selepas 20 kali perbicaraan, lapor agensi berita (dpa) Jerman, memetik laporan laman kehakiman Misan pada Ahad.
Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara beberapa tahun ke atas sembilan lagi anggota.
Ramai pengkritik mendakwa Tehran cuba menutup kes itu dan tidak mengambil tindakan ke atas mereka yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan.
Kritikan itu termasuk daripada Hamed Esmaeilion, seorang aktivis Iran terkenal yang tinggal di Kanada yang kehilangan keluarganya dalam insiden itu, dan terlibat dalam penentangan dalam buangan terhadap Iran.
Beliau juga muncul sebagai "suara" mewakili rakyat negara itu di luar negara semasa bantahan 2022.
Beliau menganggap perbicaraan itu sebagai "perbicaraan olok-olok'' dan menuduh Tehran sengaja menembak jatuh pesawat berkenaan.
Dalam keputusannya, mahkamah mendapati insiden itu berpunca daripada kesilapan manusia dan menganugerahkan keluarga yang terlibat sejumlah AS$150,000 seorang sebagai pampasan atas kesakitan dan penderitaan mereka.
Pesawat Boeing 737-800 milik Ukraine International Airlines itu sedang dalam perjalanan dari Tehran ke Kyiv dengan ramai penumpang mempunyai penerbangan sambungan ke Kanada.
Di tengah-tengah ketegangan ketenteraan dengan Amerika Syarikat, pertahanan udara Iran menembak jatuh penerbangan 752 sejurus ia berlepas dari Tehran pada 8 Jan 2020.
Kesemua 176 orang di dalam pesawat itu terbunuh.
Mangsa terdiri daripada rakyat Ukraine, Iran, Kanada, Afghanistan, Britain dan Sweden.
-- BERNAMA
#pesawat penumpang #anggota tentera Iran #tembak jatuh pesawat #Ukraine International Airlines
;