Iran heret Kanada ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa

Astro Awani
Jun 29, 2023 08:15 MYT
Iran mengheret Kanada ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana membenarkan mangsa-mangsa serangan keganasan untuk menuntut ganti rugi dari Tehran. - Foto fail/REUTERS
THE HAGUE: Iran mengheret Kanada ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana membenarkan mangsa-mangsa serangan keganasan untuk menuntut ganti rugi dari Tehran, kata Mahkamah Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu pada Rabu.
Tehran mendakwa, Ottawa yang menyenaraikan negara Islam itu sebagai penaja keganasan pada tahun 2012 telah melanggar imuniti negara Iran.
Sehubungan itu, Iran meminta ICJ yang berpangkalan di Den Haag, Belanda untuk menggesa Kanada membatalkan undang-undang yang diluluskan pada tahun sama yang membolehkan mangsa-mangsa mengumpul ganti rugi daripada penaja keganasan negara di mahkamah sivil Kanada.
"Kanada telah mengambil dan melaksanakan siri tindakan undang-undang, eksekutif, dan kehakiman terhadap Iran dan hartanya dengan melanggar obligasi antarabangsa," kata Iran dalam permohonan samannya kepada mahkamah.
Tehran dalam masa sama turut menuntut pampasan dari Kanada.
Permohonan Iran itu sebagai memetik keputusan mahkamah Kanada pada tahun 2022 yang memberikan lebih daripada AS$80 juta sebagai pampasan kepada ahli keluarga kepada enam individu yang meninggal dunia apabila Iran menembak jatuh sebuah pesawat Ukraine hampir dua tahun lalu.
Penerbangan PS752 Ukraine International Airlines itu dijatuhkan sejurus selepas berlepas dari Tehran pada 8 Januari 2020 yang menyebabkan kesemua 176 penumpang termasuk 85 warganegara dan penduduk tetap Kanada.
Tiga hari kemudian, angkatan bersenjata Iran mengaku “tersilap” menembak jatuh pesawat Kiev itu.
Iran juga mengemukakan keputusan seorang hakim Kanada pada tahun 2016 yang mengarahkan harta dan akaun bank Iran yang bukan diplomatik diserahkan kepada mangsa-mangsa serangan oleh Hamas dan Hezbollah.
Keputusan itu memberikan AS$13 juta kepada sekumpulan keluarga rakyat Amerika Syarikat (AS) yang meninggal dunia dalam lapan serangan bom atau tebusan di Buenos Aires, Israel, Lebanon, dan Arab Saudi dari tahun 1983 hingga 2002.
Kumpulan keluarga berkenaan dipimpin oleh ibu bapa Marla Bennett yang terbunuh apabila seorang pengebom bunuh diri menyerang sebuah kafeteria di Universiti Ibrani di Israel pada tahun 2002.
"Iran dengan hormat memohon agar mahkamah memutuskan dan menyatakan bahawa dengan gagal menghormati imuniti Iran dan hartanya, Kanada telah melanggar obligasi antarabangsa terhadap Iran," kata permohonan ICJ Iran.
Kanada memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada tahun 2012 ketika hubungan itu retak akibat sokongan Tehran terhadap rejim Bashar Assad di Syria, program nuklearnya, dan ancaman terhadap Israel.
Iran turut mengemukakan kes yang sama di ICJ menentang AS pada 2016 dengan tujuan membekukan aset yang dirampas Washington sebagai bayaran pampasan pada mangsa serangan keganasan.
Pada Mac lalu pula, hakim menolak usaha Iran untuk mengeluarkan AS$2 bilion dari bank Pusat dan dalam masa sama memutuskan AS secara tidak menyiata dana beberapa syarikat dan individu Iran.
ICJ ditubuhkan selepas Perang Dunia ke-2 untuk menyelesaikan pertikaian antara negara-negara anggota PBB.
Keputusan yang dicapai ICJ adalah muktamad, namun, mengambil masa bertahun lamanya untuk diselesaikan.
#Iran #Kanada #Iran heret Kanada #Mahkamah Keadilan Antarabangsa
;