Iran tidak lagi akan mengenakan visa ke atas pelawat China dalam usaha meningkatkan jumlah pelancong ekoran krisis ekonomi yang melanda negara Timur Tengah itu.

Kabinet negara itu bersetuju untuk mengetepikan keperluan visa untuk warga China yang mahu berkunjung ke Iran, lapor agensi berita IRNA.

Ketua Pengarah Pelancongan, Ali Ashgar Mounesan berkata, mereka menyasarkan 2 juta pengunjung China setiap tahun dengan pelbagai tarikan yang ada di Iran.

Katanya, langkah itu mampu membantu krisis ekonomi apabila Washington kembali semula selepas menarik diri daripada perjanjian nuklear pelbagai hala tahun lepas.

Sekatan itu telah menyasarkan eksport minyak penting Iran dan transaksi kewangan antarabangsa yang merupakan faktor utama dalam kemelesetan ekonomi yang berterusan di negara itu.

Menurut IRNA, seramai 52,000 pelancong China berkunjung ke Iran sejak Disember tahun lepas sehingga Mac tahun ini.

Salah satu usaha lain untuk meningkatkan jumlah pelancong, Iran baru-baru ini mengumumkan tiada lagi sistem menurunkan cop ke pasport pelawat, sekali gus membenarkan mereka memasuki Amerika Syarikat (AS) selepas berkunjung ke Iran.

China adalah salah satu rakan kongsi yang masih ada dalam perjanjian nuklear dan menolak dasar pentadbiran Donald Trump untuk memotong eksport minyak Iran menjadi sifar.

Tehran mengancam untuk menarik diri dari komitmen mereka di bawah perjanjian nuklear tersebut melainkan jika negara rakan-rakan negara lain - Britain, China, Perancis, Jerman dan Rusia - membantu menghalang sekatan AS, terutamanya mengenai penjualan minyak.