Iran gugur hukuman mati terhadap aktivis terkenal - Peguam

Bernama
Oktober 12, 2024 06:15 MYT
Pada Julai, sebuah mahkamah revolusi di Rasht menjatuhkan hukuman mati ke atas aktivis hak pekerja Sharifeh Mohammadi atas tuduhan penentangan bersenjata terhadap Republik Iran.
TEHRAN: Mahkamah Agung Iran telah membatalkan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas aktivis hak pekerja terkenal Iran, Sharifeh Mohammadi, menurut peguamnya pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Hukuman Mohammadi akan dibicarakan semula dalam perbicaraan baharu, kata peguamnya, Ami Raissian, kepada akhbar Shargh.
Beliau ditahan di bandar Rasht di utara Iran pada Disember tahun lalu dan sejak itu ditempatkan di beberapa penjara.
Pada Julai, sebuah mahkamah revolusi di Rasht menjatuhkan hukuman mati ke atasnya atas tuduhan penentangan bersenjata terhadap republik itu.
Keluarga Mohammadi sejak itu melantik pasukan peguam baharu untuk mendesak perbicaraan semula.
Sebelum penahanannya, Mohammadi lantang memperjuangkan hak pekerja di wilayah Gilan, di Laut Caspian.
-- BERNAMA
#Iran #Sharifeh Mohammadi #aktivis hak pekerja #hukuman mati
;