Iran di kedudukan keempat dalam kalangan pembekal minyak utama OPEC
Bernama
Januari 23, 2023 18:16 MYT
Januari 23, 2023 18:16 MYT
TEHRAN: Laporan terbaharu Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menyatakan kedudukan Iran bertambah baik dalam ranking pengeluar minyak utama Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
Menurut laporan itu pengeluaran minyak Iran pada Disember 2022 sebanyak 2.72 juta tong sehari (bpd) sekali gus membolehkan negara ini berada di kedudukan keempat dalam kalangan pembekal minyak utama OPEC.
Laporan bulanan terbaharu itu turut mengisytiharkan jumlah pengeluaran minyak OPEC pada bulan terakhir tahun lalu berjumlah 29.19 juta bpd dan jumlah pengeluaran minyak 13 negara anggota OPEC menurun 40 juta bpd pada Disember 2022 berbanding jumlah pada bulan sebelumnya.
Pengeluaran minyak mentah Iran berjumlah 2.72 juta bpd pada Disember 2022 tidak menunjukkan perubahan berbanding November tetapi mengalami peningkatan sebanyak 210 juta bpd berbanding Oktober apabila pengeluaran minyak mentah berada pada 2.51 juta bpd.
Justeru itu ia menjadikan kedudukan Iran bertambah baik dalam ranking pengeluar minyak utama OPEC dan negara itu boleh mengatasi Kuwait yang sebelum ini di kedudukan keempat.
Berikutan sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, tahap pengeluaran minyak Iran merosot dengan ketara dari kedudukan kedua ke kedudukan kelima tetapi negara itu berjaya meningkatkan pengeluaran pada November dan Disember untuk mencapai kedudukan keempat dalam OPEC.
Kuwait menghasilkan 2.68 juta bpd pada November, 2.66 juta bpd pada Disember dan 2.8 juta bpd pada Oktober.
Arab Saudi mengeluarkan 10.48 juta bpd pada Disember untuk menjadi pengeluar minyak pertama OPEC diikuti Iraq dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) masing-masing dengan 4.45 juta bpd dan 3.23 juta bpd.
-- BERNAMA