Iran desak AS tarik balik semua sekatan ekonomi menjelang rundingan nuklear
Astro Awani
April 3, 2021 06:08 MYT
April 3, 2021 06:08 MYT
TEHRAN: Iran mahu Amerika Syarikat (AS) menarik sekatan ekonomi secara keseluruhan dan bukan secara berperingkat.
Kenyataan ini dibuat menjelang rundingan menghidupkan semula Perjanjian Nuklear 2015 minggu depan.
Ia juga susulan desakan Perancis yang menggesa Iran menunjukkan pendirian dan komitmen untuk berunding dengan AS.
Menurut jurucakap Kementerian Luar Iran, Saeed Khatibzadeh, Tehran tidak mahu terima pendekatan menarik sekatan secara perlahan.
Sebaliknya, ia mahu AS membatalkan semua sekatan.
Perjanjian Nuklear 2015 antara Iran dan negara kuasa nuklear dunia terumbang ambing selepas AS di bawah pentadbiran Donald Trump umum menarik diri.
Namun di bawah presiden baharu, Joe Biden, Washington umum komitmen semula kepada perjanjian itu.
Bagaimanapun, sehingga kini Washington dan Tehran belum capai kata persetujuan berhubung pihak mana yang perlu mengambil langkah pertama.
Rundingan tidak langsung yang dijadual berangsung minggu depan akan tertumpu kepada komitmen Iran mematuhi beberapa kewajipannya kepada perjanjian nuklear.
#Iran
#Amerika Syarikat
#Saeed Khatibzadeh
#sekatan ekonomi
#Perjanjian Nuklear 2015
#Joe Biden
#Donald Trump