Iran dakwa serangan sebagai mempertahankan diri
Astro Awani
April 14, 2024 10:10 MYT
April 14, 2024 10:10 MYT
WAKIL tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sifatkan serangannya ke atas Israel sebagai mengikut lunas undang-undang.
Memetik Artikel 51 Piagam PBB, Iran tegaskan republik itu mempunyai hak untuk mempertahankan diri susulan serangan Israel ke atas bangunan konsulatnya di Damsyik, Syria pada 1 April lalu.
Dalam catatan di laman X, wakil Iran turut memberi amaran kepada Amerika Syarikat supaya menjauhkan daripada konflik Iran-Israel.
Tehran memulakan operasi ketenteraan besar-besaran terhadap Israel dengan gelombang dron dan peluru berpandu.
Ia disifatkan sebagai serangan balas ke atas tindakan Israel ke atas kepentingannya.
Serangan bangunan konsulat itu membunuh tujuh pegawai tentera Revolusi Iran termasuk dua jeneral tertingginya.
Dalam perkembangan sama, duta Israel ke PBB memohon mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk mengecam serangan Iran.
Gilad Erdan mengemukakan permohonan kepada pengerusi UNSC Malta, untuk mendesak mesyuarat diadakan segera bagi membolehkan tindakan melabel Tentera Revolusi Iran (IRGC) sebagai organisasi pengganas.