Iran dakwa berjaya bunuh 80 'pengganas AS'
Isabelle Leong
Januari 8, 2020 15:12 MYT
Januari 8, 2020 15:12 MYT
SEKURANG-KURANGNYA 80 ‘pengganas Amerika Syarikat’ terbunuh dalam serangan terhadap pangkalan udara di Iraq yang menempatkan tentera Amerika Syarikat (AS), menurut laporan televisyen Iran pada Rabu.
Serangan yang melibatkan 15 peluru berpandu itu dilancarkan Iran pada jam 3 pagi Selasa waktu tempatan.
Memetik sumber daripada tentera Revolutionary Guards, Iran juga telah menetapkan sasaran di 100 lokasi lain di rantau tersebut sekiranya Washington membalas serangan itu.
Laporan tersebut juga mengatakan bahawa helikopter dan peralatan ketenteraan “mengalami kerosakan teruk”.
Antara lokasi yang menjadi sasaran dalam serangan peluru berpandu Iran ialah pangkalan udara Al Asad di barat Iraq dan Irbil di sebelah utara.
Pada 3 Januari lalu, komander keselamatan dan perisikan Iran, Jeneral Qassem Soleimani terbunuh dalam serangan AS.
Ia juga sekali gus mencetuskan gelombang amarah mendalam ribuan rakyat iran terhadap Presiden AS, Donald Trump.
Menurut laporan media tempatan, gerakan menuntut bela dan balas dendam untuk Soleimani tidak akan membenarkan Presiden AS Donald Trump hidup dengan tenang.
Kematian Soleimani adalah tamparan besar ke seluruh rakyat Iran dan sekali gus membawa kepada hampir semua orang dari Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, bersumpah membalas dendam secara besar-besaran.
#Amerika Syarikat
#bunuh
#Donald Trump
#Iran
#Iraq
#jenayah
#pengganas
#presiden as
#Qassem Soleimani
#serangan
#Washington