Iran cadang larangan guna telefon pintar kerana ancaman pengintipan

AFP
Jun 14, 2015 17:40 MYT
Begitupun, tiada halangan bagi kakitangan berkaitan untuk menggunakan telefon pintar dalam kehidupan peribadi mereka. - Foto AFP
Para pegawai di Iran yang mempunyai capaian kepada maklumat sulit akan diharamkan daripada menggunakan telefon pintar di tempat kerja atas sebab kawalan pengintipan, kata pegawai rasmi keselamatan negara itu.
Ketua Pertubuhan Pertahanan Awam Iran Brigadier Jeneral Gholamreza Jalali memberitahu, telefon seumpamanya adalah tidak selamat kerana data yang ada di dalam telefon akan disalin dalam simpanan tambahan, tidak boleh dipadam dan boleh dicapai.
Gholamreza memberitahu dengan adanya peraturan baharu yang sedang menunggu untuk diluluskan itu, bermakna para pegawai perlu menggunakan telefon bimbit lain untuk bekerja di pejabat yang melibatkan maklumat sensitif.
Begitupun, tiada halangan bagi kakitangan berkaitan untuk menggunakan telefon pintar dalam kehidupan peribadi mereka.
Larangan berkenaan diumumkan selepas sebuah laporan rundingan nuklear antara Iran dan kuasa-kuasa dunia menjelang 30 Jun ini telah digodam melalui muslihat siber.
Pihak berkuasa Switzerland dan Austrian pada Khamis lalu berkata bahawa mereka telah memulakan siasatan tentang kes perisikan di hotel-hotel tempat rundingan nuklear itu dilangsungkan.
Pakar-pakar teknologi maklumat menyalahkan Israel yang dikatakan melobi dengan agresif menentang diplomasi nuklear, namun Timbalan Menteri Luar Israel Tzipi Hotovely menafikan pasukan perisiknya terlibat.
Iran sangat sensitif pada ancaman siber berikutan program nuklearnya pernah dilumpuhkan virus Stuxnet pada tahun 2010.
#Iran #pengintipan #telefon pintar
;