Iran benarkan penyiasat IAEA pantau program nuklear
Astro Awani
Februari 22, 2021 08:14 MYT
Februari 22, 2021 08:14 MYT
REPUBLIK Iran membenarkan penyiasat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) akses untuk memantau program nuklearnya sehingga tiga bulan.
Bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi, akses yang diberikan adalah terhad dan tidak terbuka.
"Akses yang diberikan adalah lebih terhad. Tetapi kita masih boleh teruskan aktiviti memantau dan mengesahkan kerja. Had ini masih boleh diterima.
"Seperti yang anda akan lihat, ia merupakan satu persetujuan sementara secara teknikal," katanya pada sidang media di Vienna pada Ahad.
Beliau ditanya berhubung perjanjian yang dimeterai IAEA bersama Tehran, susulan perbincangan dengan pegawai kanan Iran semasa lawatan yang dibuat beliau ke republik itu.
IAEA adalah organisasi antarabangsa yang mempunyai kuasa autonomi dalam sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Harapan IAEA ialah untuk menstabilkan keadaan yang sangat tidak stabil, kata Grossi.
"Perjanjian secara teknikal ini dicapai supaya rundingan politik pada tahap lain boleh diteruskan, dan paling penting, kita tidak lagi bergerak dalam keadaan tidak tahu apa-apa," tambahnya.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Mohammad Java Zarif mengesahkan, republik itu tidak akan membenarkan IAEA mengakses rakaman kamera di loji nuklear mereka.
Pertemuan Grossi dengan pegawai kanan Iran berlangsung ketika Iran meneruskan tekanan ke atas blok Eropah dan pentadbiran Joe Biden untuk kembali merundingkan Perjanjian Nuklear 2015.
#Iran
#Joe Biden
#nuklear
#IAEA
#Agensi Tenaga Atom Antarabangsa
#Rafael Grossi
#Pantau
#Mohammad Java Zarif