Iran, Arab Saudi ambil pendekatan pertama tingkatkan hubungan pertahanan

Bernama
Disember 4, 2023 16:30 MYT
Tentera Iran bersedia untuk meningkatkan hubungan ketenteraan dengan angkatan tentera Arab Saudi. - Gambar fail/ Reuters
TEHRAN: Selepas sembilan bulan Iran dan Arab Saudi memulihkan hubungan diplomatik, pegawai kanan pertahanan kedua-dua negara mula membincangkan cara untuk meningkatkan kerjasama ketenteraan dan pertahanan antara kedua-dua kuasa besar serantau itu.
Ketua Staf Angkatan Bersenjata Iran Mejar Jeneral Mohammad Baqeri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi Khalid bin Salman Al Saud baru-baru ini berbincang melalui telefon mengenai isu kepentingan bersama serta cara untuk meningkatkan hubungan ketenteraan antara Tehran dan Riyadh, lapor agensi berita Iran IRNA.
Baqeri yang berpuas hati terhadap penyambungan semula hubungan diplomatik antara kedua-dua negara selepas tujuh tahun, memuji kerajaan Arab Saudi kerana menganjurkan sidang kemuncak tergempar Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bulan lepas bagi menangani pencerobohan Israel di Gaza.
Beliau berkata angkatan tentera Iran bersedia untuk meningkatkan hubungan ketenteraan dengan angkatan tentera Arab Saudi.
Sementara itu, menteri pertahanan Arab Saudi juga menyambut baik prospek peningkatan kerjasama antara angkatan tentera kedua-dua negara.
-- BERNAMA
#Arab Saudi #Iran #Hubungan dua hala #kerjasama ketenteraan
;