Iran, Arab Saudi adakan pertemuan rasmi pertama dalam tempoh 7 tahun
Agensi
April 6, 2023 07:15 MYT
April 6, 2023 07:15 MYT
Beijing: Menteri Luar Iran dan Arab Saudi pada Khamis bertemu untuk mesyuarat rasmi pertama mereka dalam tempoh lebih tujuh tahun, susulan perjanjian mengejut yang dikendalikan China.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua negara berikrar terus bekerjasama untuk memperbaiki hubungan dan mengumumkan perancangan membuka semula kedutaan dan konsulat dalam tempoh dua bulan.
Stesen televisyen Iran menyiarkan rakaman ringkas Putera Faisal bin Farhan Al Saud dan rakan sejawatannya dari Iran, Hossein Amirabdollahian bersalaman sebelum duduk bersebelahan.
"Pasukan teknikal akan meneruskan penyelarasan untuk mengkaji cara meluaskan kerjasama termasuk membuka semula penerbangan dua hala delegasi sektor kerajaan dan swasta serta memudahkan pemberian visa untuk rakyat kedua-dua negara," kenyataan itu menyebut.
Amirabdollahian memaklumkan pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana positif dan memberi penekanan terhadap kestabilan dan keselamatan mampan, yang dipersetujui sebagai agenda bersama.
Bulan lalu, China memainkan peranan penting dalam menjadi pengantara perjanjian penting antara Iran dan Arab Saudi untuk menamatkan ketegangan diplomatik mereka, selepas permusuhan bertahun memburukkan lagi konflik di seluruh Asia Barat.
Arab Saudi memutuskan hubungan dengan Iran pada 2016 selepas kedutaannya di Tehran diserang semasa pertelingkahan antara kedua-dua negara berhubung pelaksanaan hukuman mati oleh Riyadh terhadap seorang ulama Syiah.