Iran akhirnya mengaku tembak jatuh pesawat malang Ukraine
Agensi
Januari 11, 2020 12:17 MYT
Januari 11, 2020 12:17 MYT
Iran pada Sabtu mengakui pihak tentera negara itu telah secara ‘tidak sengaja’ menembak jatuh sebuah pesawat penumpang milik Ukraine yang meragut 176 nyawa.
Lapor agensi berita Assosiated Press (AP), satu kenyataan yang dikeluarkan menyebut faktor ‘kecuaian manusia’ sebagai punca kesilapan menembak jatuh pesawat itu pada Rabu lalu.
Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif berkata selain 'kesilapan manusia', sikap ‘gemar mengambil risiko’ oleh Amerika Syarikat juga menyumbang kepada tragedi itu.
“Ini hari yang menyedihkan. Laporan siasatan awal oleh pihak tentera merumuskan ‘kecuaian manusia’ sewaktu krisis berlangsung yang berpunca dari sikap ‘gemar mengambil risiko’ oleh Amerika Syarikat juga menyumbang kepada tragedi itu,” tulis Mohammad Javad pada akaun Twitternya.
“Kami melahirkan rasa amat kesal, memohon maaf dan takziah kepada rakyat kami, keluarga mangsa dan negara-negara yang terbabit.”
Pesawat Boeing 737 yang dikendalikan oleh syarikat Penerbangan Antarabangsa Ukraine itu, terhempas di pinggiran ibu kota Tehran sejurus berlepas, hanya beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke arah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Iraq.
Iran sebelum ini beberapa kali menafikan peluru berpandu miliknya menembak jatuh pesawat malang itu.
Namun begitu pihak Amerika Syarikat dan Kanada yang memetik sumber perisikan masing-masing percaya Iran bertanggungjawab dalam insiden itu.
#Amerika Syarikat
#Boeing
#Iran
#Iraq
#kotak hitam
#penerbangan
#pesawat
#serangan
#tembak
#tentera
#terhempas
#Ukraine