Iran akan adakan perarakan jenazah Raisi di Tabriz pada Selasa

Bernama
Mei 20, 2024 05:30 MYT
Orang ramai menyalakan lilin tanda simpati susulan nahas helikopter melibatkan kematian Presiden Raisi, menteri dan pegawai kanan, di luar kedutaan Iran, di Baghdad, Iraq, 20 Mei 2024. REUTERS
TABRIZ (Iran): Perarakan jenazah Presiden Iran, Ebrahim Raisi akan diadakan di bandar barat laut Tabriz pada Selasa sebelum jenazahnya dibawa ke Tehran, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Pengarah Pejabat Organisasi Penyebaran Islam Iran di Tabriz, Hojjatoleslam Mahmoud Hosseini, berkata jenazah Raisi dan mangsa-mangsa lain nahas helikopter itu disimpan di tanah perkuburan Tabriz pada Isnin malam.
Hosseini memberitahu wartawan IRNA pada Isnin bahawa perarakan jenazah akan diadakan pada Selasa dan penduduk Tabriz akan mengucapkan selamat tinggal kepada presiden dan membawa jenazahnya ke Lapangan Terbang Tabriz.
Beliau berkata bahawa Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran Ayatollah Seyyed Ali Khamenei akan menunaikan solat jenazah untuk presiden pada Rabu dan jenazahnya akan dikebumikan di kampung halamannya di Mashhad sehari kemudian.
Satu majlis sedang berlangsung di pusat bandar Tehran di mana orang ramai sedang bersedih dan berkabung atas kematian Raisi.
Presiden Raisi dalam penerbangan pulang dari satu majlis perasmian empangan di sempadan Iran dengan Azerbaijan pada Ahad apabila helikopter dinaikinya terhempas di Varzaqan, barat laut Iran, pada Ahad.
Menteri Luar Hossein Amirabdollahian dan beberapa pegawai kanan wilayah turut berada dalam helikopter yang sama dan kesemuanya terkorban.
-- BERNAMA
#Ebrahim Raisi #solat jenazah #perarakan jenazah #Iran
;