Iran ada hak hukum Israel atas pembunuhan Ismail Haniyeh - Nasser
Astro Awani
Ogos 6, 2024 09:45 MYT
Ogos 6, 2024 09:45 MYT
TEHRAN: Iran mempertahankan ia mempunyai 'hak undang-undang' untuk bertindak balas terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran minggu lalu dan menyalahkan Israel atas serangan yang berlaku di tengah-tengah perang Gaza.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanani berkata, tiada siapa yang berhak meragui hak undang-undang Iran untuk menghukum rejim Zionis.
Beliau menegaskan, Iran tidak bermaksud memburukkan lagi ketegangan di rantau itu yang semakin meningkat sejak perang Israel-Hamas meletus pada awal Oktober dan semakin meningkat sejak serangan di Tehran pada Rabu lalu.
Iran dan Hamas serta kumpulan bersenjata lain yang bersekutu dengan Tehran di Asia Barat berikrar untuk bertindak balas.
Israel, sehingga kini tidak memberi sebarang reaksi mengenai pembunuhan itu, yang berlaku hanya beberapa jam selepas pembunuhan ketua tentera kumpulan Hezbollah, Fuad Shukr dalam serangan Israel di Beirut.
Gesaan untuk mengurangkan ketegangan dipergiatkan berikutan pembunuhan berprofil tinggi, dengan kuasa dunia bimbang meletusnya perang rantau habis-habisan.
Dalam pada itu, Nasser berkata, pihaknya percaya penyatuan kestabilan dan keselamatan di rantau ini akan dicapai dengan menghukum penceroboh dan mewujudkan penghalang terhadap tingkah laku pengembaraan dan keganasan luar wilayah rejim Zionis.
Iran, yang tidak mengiktiraf Israel, mengadakan perbincangan dengan beberapa negara Arab termasuk Jordan, Mesir, Oman dan Qatar sejak pembunuhan Ismail.