IOC putuskan dalam tempoh empat minggu penganjuran Olimpik Tokyo 2020
Bernama
Mac 23, 2020 13:32 MYT
Mac 23, 2020 13:32 MYT
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) akan membuat keputusan muktamad sama ada untuk menerus atau menangguhkan Sukan Olimpik Tokyo 2020, dalam tempoh empat minggu, susulan pandemik COVID-19.
IOC dalam laman webnya menyatakan mereka telah memulakan perbincangan menyeluruh dengan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020, pihak berkuasa Jepun dan Kerajaan Metropolitan Tokyo mengenai temasya itu, dan pembatalannya bukan agenda mereka pada masa ini.
"IOC yakin akan dapat menyelesaikan perbincangan ini dalam tempoh empat minggu akan datang, dan sangat menghargai setiakawan serta kerjasama NOC (Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan) dan IF (Persekutuan Sukan Antarabangsa) dalam menyokong atlet dan menyesuaikan perancangan Sukan Olimpik," katanya.
Badan pentadbir dunia itu juga mendedahkan mereka telah meningkatkan perancangan senario Sukan Olimpik 2020, termasuk mengubah suai pelan operasi sedia ada untuk temasya itu diteruskan pada 24 Julai dan juga perubahan tarikh mula penganjurannya.
IOC menambah, langkah itu akan membolehkan mereka mendapat gambaran sebenar situasi perkembangan wabak COVID-19 di seluruh dunia dan di Jepun, yang kemudian akan menjadi asas untuk membuat keputusan terbaik demi kepentingan atlet dan individu lain yang terlibat.
IOC juga berkata sambutan hangat ditunjukkan rakyat Jepun sempena ketibaan Obor Sukan Olimpik dari Greece pada Jumaat meningkatkan keyakinan IOC untuk kerajaan Jepun menganjurkan temasya Sukan Olimpik dengan sekatan keselamatan tertentu, dan pada masa yang sama terus mendukung prinsip melindungi kesihatan semua pihak yang terlibat.
Ia juga menggariskan beberapa cabaran yang akan mereka hadapi sebelum membuat keputusan termasuk peningkatan drastik kes COVID-19, sejumlah besar hotel yang telah ditempah oleh atlet dan pegawai, beberapa venue penting yang diperlukan untuk Sukan Olimpik mungkin tidak dapat disediakan, selain untuk menyelaraskan jadual pertandingan bagi 33 acara Sukan Olimpik itu.
IOC mengadakan mesyuarat lembaga eksekutif pada Ahad berikutan desakan oleh atlet dan NOC untuk menangguhkan Sukan Olimpik berikutan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.- BERNAMA