Intipati Debat Presiden AS pusingan pertama Trump-Clinton
Agensi
September 27, 2016 14:45 MYT
September 27, 2016 14:45 MYT
Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) dari Parti Demokratik, Hillary Cliton, dan pesaingnya dari Parti Republikan, Donald Trump, berentap pada Isnin malam dalam sebuah pertarungan waktu perdana di hadapan berjuta-juta pengundi Amerika.
Di bawah adalah petikan pilihan debat pusingan pertama menuju ke tarikh pilihan raya 8 November.
Stamina untuk memimpin?
“Saya kata dia tidak mempunyai stamina. Dan saya tidak percaya dia ada stamina itu. Untuk menjadi presiden negara ini, anda memerlukan stamina yang banyak.” – Trump
“Sekiranya beliau telah melawat ke 112 buah negara dan membuat rundingan damai, gencatan senjata dan pelepasan puak penentang .. atau menghabiskan 11 jam memberi keterangan di hadapan ahli jawatankuasa kongres, dia boleh bercakap mengenai stamina dengan saya.” – Clinton
Pengalaman yang betul?
“Biar saya beritahu anda, Hillary mempunyai pengalaman. Tetapi, ia buruk, pengalaman yang buruk” – Trump
Terlalu banyak persediaan?
“Saya rasa Donald cuma mengkritik saya kerana mempersiapkan diri untuk debat ini. Ya, saya memang bersedia. Dan anda tahu apa lagi yang telah saya bersedia? Saya bersedia utuk menjadi seorang Presiden.” - Clinton
Hidup dalam realiti
“Saya tahu kamu hidup dalam realiti kamu sendiri, namun itu bukanlah fakta,” ujar Clinton, selepas Trump membidas beliau atas sokongannya dalam hal rundingan dagangan Perjanjian Trans-pasifik.
Sebuah penipuan perkauman
“Beliau cuba mengetepikan seluruh isu perkauman mengenai keraguan beliau terhadap kesahihan Barack Obama sebagai presiden, namun ia tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Beliau memulakan aktiviti politik beliau berdasarkan sebuah penipuan perkauman yang mengatakan bahawa presiden kulit hitam kita yang pertama bukanlah warganegara Amerika.” – Clinton, merujuk kepada sokongan Trump yang tidak terbelah bagi terhadap gerakan 'Birther' yang mempersoalkan kewarganegaraan Barack Obama.
Tunjukkan pulangan cukai
“Saya tidak mempunyai sebab untuk percaya bahawa beliau akan mendedahkan pulangan cukainya, kerana ada sesuatu yang beliau sembunyikan.” – Clinton
“Saya akan mendedahkan pulangan cukai saya yang tidak akan dipersetujui peguam saya seandainya Clinton mendedahkan 33,000 e-mel yang telah dihapuskan beliau.” – Trump
Ekonomi 'Trumped-Up'
“Rancangan sebegini yang telah Donald usulkan akan menjatuhkan ekonomi sekali lagi. Malah, ia akan menjadi versi ekstrem. Ini pemotongan cukai terbesar untuk peratusan tertinggi rakyat negara ini yang pernah kita ada. Saya memanggilnya Trumped-up trickle-down”. – Clinton
Omong kosong
“Tipikal ahli politik. Hanya tahu bercakap namun tiada tindakan. Kedengaran bagus tidak akan memberikan hasil. Tidak akan pernah terjadi” – Trump, memberikan komen terhadap pelan ekonomi Clinton.
Polis dunia
“Saya ingin membantu semua negara sekutu kita tetapi kita telah kehilangan berbilion-bilion dolar. Kita tidak boleh menjadi polis dunia, kita tidak boleh melindungi semua negara di dunia ini apabila mereka tidak memberi kita apa yang kita perlukan.” – Trump, menegaskan kritikan beliau terhadap sekutu AS yang telah lama bersama.
Kucar-kacir Asia Barat
“Anda lihat Asia Barat, semuanya kucar-kacir di bawah arahan kamu, sehingga satu masa, ia semakin melarat. Kamu bercakap mengenai pembentukan Daish. Namun, kamu di sana, dan kamu merupakan Setiausaha Negara sewaktu mereka masih kecil. Sekarang, ia sudah berada di 30 buah negara dan kamu ingin menghentikan mereka? Saya tidak rasa itu akan terjadi.” - Trump
Jangan beritahu musuh
Clinton: “Sekurang-kurangnya saya ada rancangan untuk menentang ISIS.”
Trump: “Tidak, tidak, kamu memberitahu musuh kamu segala yang akan kamu lakukan.”
Clinton: "Tidak, Kami tidak lakukan itu”
Trump: “Kamu beritahu musuh kamu segalanya. Tidak hairan sekiranya kamu telah menentang Daish sepanjang hidup kamu.”
Segalanya telah diluah dan dilakukan
“Saya ingin menjadikan Amerika hebat semula. Saya mampu melakukannya, saya tidak percaya Hillary mampu. Jawapannya adalah, sekiranya beliau menang, sudah pasti saya akan menyokong beliau” – Trump