Intipati debat naib presiden AS: Calon Republikan lebih menyerlah

Nizam Bakeri
Oktober 5, 2016 07:15 MYT
Tim Kaine (kiri) dan Mike Pence berdebat selama 90 minit menyentuh pelbagai isu - Foto AFP
SELEPAS pertembungan hangat Trump-Clinton pada debat presiden pertama minggu lalu, kini tiba giliran calon naib presiden untuk bertarung di pentas.
Debat naib presiden awal Rabu mempertemukan calon Republikan Mike Pence dan calon Demokrat Tim Kaine.
Memandangkan Pence dan Kaine menjadi regu kepada calon berprofil tinggi dan penuh kontroversi, para pemerhati politik dan rakyat Amerika amnya menantikan pendekatan mereka dalam menyokong calon presiden masing-masing.
Pence tenang, serangan Kaine kurang menjadi
Sebagai gandingan Donald Trump, Pence sudah dapat menghidu bahawa lawannya akan mendesak untuk mempertahankan kenyataan kontroversi Trump sebelum ini, terutamanya dalam debat presiden pertama minggu lalu yang masih hangat dalam memori penonton.
Taktik Pence? Dia tidak melayan serangan demi serangan yang dilancarkan oleh Kaine.
Soalan mengenai keengganan Trump mendedahkan penyata cukai digunakan oleh Pence untuk menerangkan faedah polisi cukai lebih rendah ke atas pemilik industri yang dibawa oleh kem Republikan (yang sebelum ini tidak pernah dijelaskan dengan baik oleh Trump).
Adakah dia membantu kempen Trump dengan mengelak sebegini? Mungkin tidak.
Adakah dia kelihatan sebagai pendebat yang lebih berwibawa berbanding Kaine? Sudah pasti.
Pendekatan Kaine yang agresif dengan terlalu kerap mencelah mengurangkan karismanya, bahkan ada ketikanya ucapannya bertindan dengan Pence dan para penonton tidak mampu memahami apa-apa.
Dasar luar AS jadi tumpuan
“Pihak anda memang suka Russia ya?”
Demikian salah satu sindiran Kaine kepada lawannya dari parti Republikan mengenai beberapa kenyataan Trump yang memuji Presiden Russia, Vladimir Putin.
Pence menafikan segala ‘tuduhan’ Kaine dan kemudian berhujah dengan nada yang amat berbeza dengan Trump.
Menurutnya, Putin merupakan ‘lelaki kecil’ dan Amerika Syarikat perlu bertindak untuk menghentikan peluasan pengaruh Russia.
Selain isu Russia, Kaine turut mengingatkan penonton mengenai kelemahan Trump yang masih belum mendedahkan ‘strategi rahsia’ untuk memerangi Daish.
Keputusannya?
Walaupun debat naib presiden tidak membawa kesan signifikan terhadap keputusan pemilihan presiden Amerika Syarikat, namun pertembungan Pence-Kaine masih dilihat penting.
Sekalipun nampak sedikit gemuruh dan sekali-sekala ucapannya tersekat, Kaine telah menjalankan peranannya sebagai penyerang bagi kem Demokrat.
Kesemua soalan yang gagal dijawab oleh Pence akan menjadi ‘bekalan’ Clinton dalam dua lagi debat presiden sebelum ini.
Ketenangan Pence dalam menepis serangan Kaine dan menjelaskan polisi kempennya pula mungkin mampu memancing pengundi yang sebelum ini tidak senang dengan karakter Trump dan keceluparannya.
Keengganan membela Trump turut memperlihatkan Pence sebagai pemimpin Republikan yang lebih berwibawa berbanding pemilik empayar Trump Organization itu.
Siapa tahu, mungkin Pence sendiri akan bertanding atas tiket Presiden pada tahun 2020 atau 2024?
#AS memilih #Donald Trump #Hillary Clinton #Mike Pence #Tim Kaine
;