THE HAGUE: Ahli Parlimen Belanda pada Jumaat menyeru supaya siasatan dilakukan terhadap dakwaan pengintipan dan intimidasi oleh Israel untuk menghalang siasatan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ke atas pegawai-pegawai Israel, lapor Agensi Anadolu.


Ringkasan AI
  • Ahli Parlimen Belanda Kati Piri dari Parti Green Left-Labour menggesa menteri-menteri untuk menyiasat dakwaan pengintipan dan intimidasi oleh Israel terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ke atas pegawai-pegawai Israel.
  • Usul ini menekankan bahawa negara tuan rumah ICC, yang berpusat di The Hague, harus menghalang sebarang serangan atau ancaman terhadap mahkamah antarabangsa tersebut yang bertujuan mengganggu siasatan mengenai jenayah perang di Wilayah Palestin.
  • Ia mengambil kira insiden melibatkan bekas Pendakwa ICC, Fatou Bensouda yang mana rumahnya telah digeledah dua individu disyaki perisik Israel.


Soalan bertulis yang dikemukakan oleh anggota Dewan Perwakilan Kati Piri menggesa menteri-menteri untuk menyiasat aktiviti yang didakwa itu.

Piri merupakan ahli gabungan Parti Green Left-Labour, yang diketuai oleh bekas Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Frans Timmermans.

Satu pertanyaan yang mendapat sokongan daripada ahli-ahli Parti Green Left-Labour lain telah ditujukan kepada Menteri Luar Hanke Bruins Slot, Menteri Dalam Negeri dan Hubungan Kerajaan Hugo de Jonge, serta Menteri Kehakiman dan Keselamatan Dilan Yesilgoz-Zegerius.

Merujuk kepada laporan media antarabangsa, usul berkenaan meminta tiga kementerian berkenaan, bersama dengan perkhidmatan perisikan Belanda, menyiasat dakwaan pengintipan dan usaha intimidasi oleh Israel terhadap ICC.

Usaha-usaha berkenaan dilaporkan bertujuan untuk mengganggu siasatan mengenai jenayah perang yang dilakukan di Wilayah Palestin.

Usul itu turut menekankan bahawa negara tuan rumah ICC, yang berpusat di The Hague, harus menghalang sebarang serangan atau ancaman terhadap mahkamah antarabangsa berkenaan.

Ia mempersoalkan bagaimana pihak berkuasa Belanda merancang untuk memastikan bahawa Pendakwa ICC Karim Khan dan hakim-hakim mahkamah boleh beroperasi secara bebas dan tanpa campur tangan.

Usul berkenaan juga mengambil perhatian tentang satu insiden yang melibatkan bekas Pendakwa ICC Fatou Bensouda, yang mana rumahnya di The Hague telah digeledah oleh dua individu yang disyaki bekerja untuk perisikan Israel. Bensouda telah melaporkan insiden berkenaan kepada pihak berkuasa Belanda.

Usul Piri juga meminta menteri-menteri untuk mendedahkan jumlah aduan yang diterima daripada ICC, badan bukan kerajaan Palestin, dan individu-individu mengenai intimidasi, rasuah, ugutan atau cubaan pengintipan oleh Israel atau negara-negara lain sejak tahun 2015.

-- BERNAMA