Insiden Siam Paragon: Suspek kongsi video berlatih guna senjata
Sinar Harian
Oktober 4, 2023 12:00 MYT
Oktober 4, 2023 12:00 MYT
BANGKOK: Polis Thailand memaklumkan remaja lelaki berusia 14 tahun yang terlibat dalam insiden tembakan rambang di sebuah pusat beli-belah di Bangkok telah berkongsi gambar peluru dan video dirinya berlatih mengendalikan senjata api dalam kumpulan sembang WhatsApp.
Siasatan awal turut mendapati suspek gemar bermain permainan video berunsurkan keganasan senjata api.
Penemuan itu hasil pemeriksaan pada telefon bimbit suspek sejurus serangan di Siam Paragon yang meragut tiga nyawa, termasuk seorang pelancong China, semalam
Serangan pada jam 4.50 petang (waktu tempatan) itu turut mencederakan empat mangsa lain
Semasa ditahan, polis menemukan sepucuk pistol Glock 19 berisi peluru 9 milimeter (mm) pada tubuh suspek yang disyaki digunakan dalam tembakan rambang di Siam Paragon.
Ketika ditahan, suspek tidak melawan tetapi berulang kali menyatakan bahawa 'penyerang sebenar' masih bebas.
Suspek sedang disiasat oleh Unit Jenayah Kanak-Kanak Polis Thailand dan motif serangan masih samar. - Agensi/ Sinar Harian