Insiden Siam Paragon: Singapura zahir kedukaan
Bernama
Oktober 4, 2023 07:30 MYT
Oktober 4, 2023 07:30 MYT
SINGAPURA: Singapura menzahirkan kedukaan susulan insiden tembakan di Siam Paragon Mall di Bangkok, Thailand pada 3 Okt hingga mengakibatkan kematian dan kecederaan, menurut Kementerian Luar (MFA) negara itu.
"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga yang berduka dan berharap mereka yang cedera cepat sembuh," kata jurucakap kementerian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Rabu.
Jurucakap itu berkata tiada laporan mengenai mana-mana warga Singapura yang terjejas akibat insiden itu setakat ini.
Kedutaan Singapura di Bangkok telah menghubungi rakyatnya di Thailand untuk memaklumkan mereka mengenai situasi itu, menurut MFA.
Pihak kedutaan juga berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan tiada rakyatnya terjejas secara langsung akibat insiden tembakan itu.
-- BERNAMA