Insiden remaja 19 tahun dirogol, ditikam dan dibakar cetus bantahan
Agensi
Oktober 9, 2020 11:10 MYT
Oktober 9, 2020 11:10 MYT
ALGIERS: Insiden seorang remaja perempuan yang dirogol, ditikam dan dibakar seorang lelaki yang pernah mencederakan mangsa sebelum ini telah mencetuskan kemarahan di Algeria.
Kematian mangsa Chaima Sadou, 19, yang didakwa tidak mendapat pembelaan sewajarnya telah mendorong orang ramai mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah undang-undang yang disifat tidak berlaku adil kepada kaum wanita.
Selain demonstrasi, orang ramai juga menggunakan media sosial untuk memulakan kempen tweet dengan tanda pagar #JeSuisChaima.
Kumpulan kempen itu turut mendakwa 38 wanita telah dibunuh sepanjang tahun ini.
Chaima pernah cuba diperkosa suspek sama pada tahun 2016, namun kes itu tidak dibicarakan kerana tidak cukup bukti.
Namun minggu lalu, malang tidak berbau apabila mangsa yang keluar rumah untuk membayar bil telefon terserempak dengan suspek.
Mayat Chaima Sadou ditemukan di sebuah stesen minyak terbiar kira-kira 50 kilometer dari sini selepas suspek membuat aduan 'rakannya' terbakar di situ.
Suspek mengaku membunuh mangsa selepas disoal siasat polis dan kini ditahan, lapor akhbar tempatan El Watan.
Keluarga mangsa menggesa agar suspek dikenakan hukuman mati atas tindakan kejam ke atas Chaima.