Insiden 'kejar-mengejar' Harry dan Meghan dengan paparazzi cetus persoalan
Agensi
Mei 18, 2023 14:11 MYT
Mei 18, 2023 14:11 MYT
NEW YORK: Insiden 'kejar-mengejar' antara Putera Harry dan Meghan Markle dengan jurugambar bebas (paparazzi) di New York, seperti yang disahkan oleh jurucakap pasangan itu, menerima reaksi skeptikal banyak pihak.
Jurucakap itu tidak menyatakan sama ada Harry, Meghan atau ibu Meghan, Doria Ragland, cedera dalam kejadian itu tetapi mendakwa situasi kejar-mengejar itu hampir mengakibatkan kemalangan yang melibatkan pemandu lain, pejalan kaki dan dua pegawai Jabatan Polis New York (NYPD).
Jurucakap NYPD mengesahkan kepada The Times bahawa pegawai mereka "membantu pasukan keselamatan melindungi Duke dan Duchess of Sussex."
"Terdapat ramai jurugambar yang membuat perjalanan mereka sukar. Duke dan Duchess of Sussex tiba di destinasi mereka dan tidak ada kemalangan, saman, kecederaan atau tangkapan yang dilaporkan mengenainya," kata Julian Phillips, timbalan pesuruhjaya NYPD, dalam satu kenyataan.
Awal malam itu, Harry, 38, dan Meghan, 41, menghadiri sebuah majlis gala kebajikan.
Pasangan itu dilaporkan masuk dan keluar dari lokasi majlis secara terbuka dan paparazi boleh mengambil gambar mereka tanpa halangan. Mereka menaiki SUV berwarna hitam, lapor Associated Press.
Walau bagaimanapun, pada satu ketika, mereka dikatakan meninggalkan SUV tersebut untuk menaiki teksi awam berwarna kuning.
Dua sumber penguatkuasa undang-undang memberitahu WNBC-TV New York bahawa Harry dan Meghan meninggalkan lokasi sekitar jam 10 malam dengan pasukan keselamatan persendirian dan bersiar-siar di sekeliling bandar raya New York selama sejam dengan iringan polis.
Mereka kemudiannya dibawa ke balai polis, sebelum menukar kenderaan dan meninggalkan balai polis tanpa diekori.
Sumber berkata jurugambar berbasikal kelihatan pada kamera keselamatan, tetapi bukan jenis karavan yang diterangkan oleh sumber yang rapat dengan Harry dan Meghan.
Kejar-mengejar itu didakwa melibatkan setengah dozen kenderaan bercermin gelap dan mengakibatkan pelanggaran beberapa undang-undang lalu lintas, antaranya memandu di kaki lima, melanggar lampu merah, mengundur di jalan sehala, memandu sambil menggunakan telefon serta menghalang pergerakan kenderaan.
Datuk Bandar New York, Eric Adams mengecam tingkah laku paparazi tetapi meluahkan keraguan bagaimana ia boleh berlaku di bandar yang padat dengan penduduk itu.
"Sukar untuk mempercayai bahawa ada adegan kejar-mengejar berlaku selama dua jam di bandaraya ini," kata Adams kepada New York Daily News.