Insiden kanak-kanak tertembak mati jurulatih di AS undang perdebatan

Agensi
Ogos 28, 2014 18:30 MYT
Jenis senjata api submachine gun 'Uzi' yang digunakan oleh kanak-kanak tersebut. - Gambar AFP
Insiden seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun di Amerika Syarikat secara tidak sengaja menembak mati pelatihnya di padang sasar menimbulkan persoalan mengenai kawalan senjata api di negara itu.
Menurut pejabat Sheriff di kawasan itu, kejadian yang berlaku pada Isnin di lapangan tembak Last Stop, White Hills, Arizona itu terjadi apabila ibu bapanya membawa ke kelas menembak tersebut.
Kanak-kanak itu bagaimanapun berjaya mengawal senjata berkenaan, jenis submachine gun 'Uzi' yang bergred tentera, dalam mod tembakan manual.
Bagaimanapun apabila jurulatihnya, Charles Vacca, 39, menukar mod senjatanya kepada automatik, kanak-kanak itu tidak sengaja menembak dan peluru itu tepat mengenai kepala Vacca.
"Vacca berdiri di sebelah kanak-kanak itu semasa dia sedang mengajar untuk menggunakan senjata itu ketika kejadian itu berlaku.
"Siasatan lanjut mendapati kanak-kanak itu menarik picu senjata itu dan kemudian peluru terkena kepala jurulatihnya," jelas kenyataan itu.
Vacca kemudiannya dilapor meninggal dunia di hospital.
Pihak berkuasa kemudiannya mengeluarkan video yang mengeluarkan babak tembakan itu yang dirakam ibu bapa kanak-kanak itu.
Ia menunjukkan jurulatih tersebut yang berdiri di sebelah kanak-kanak itu dan menerangkan teknik meletakkan tangan di senjata berkenaan.
Kanak-kanak itu turut kelihatan menembak dan terkebelakang sedikit selepas melepaskan das tembakan.
"Tembak dengan tepat," kata jurulatih itu.
Babak akhir video itu menunjukkan tembakan dan terkena ke arah jurulatih berkenaan.
'Amat menyedihkan'
Seorang pengurus di lapangan sasar itu memberitahu NBC News bahawa latihan menembak boleh diberi kepada kanak-kanak seawal umur mereka lapan tahun.
Sementara laman web 'Bullets and Burgers' pula menawarkan pelbagai pilihan senjata untuk dijual.
"Pelanggan kita mempunyai peluang untuk memilih pelbagai jenis senjata daripada laman web," kata laman itu.
Kejadian itu menimbulkan reaksi segera daripada aktivis kawalan senjata yang mahu kawalan lebih ketat termasuk penggunaan senjata automatik dan hak menggunakan senjata.
Wakil Yayasan Sukan Menembak Kebangsaan, Mike Bazinet menjelaskan, sukan yang digemari jutaan rakyat Amerika itu merupakan aktiviti ekstrem yang selamat.
"Bagaimanapun kejadian ini sangat tragik dan sangat menyedihkan," katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan bahagian polisi Third Way, Jim Kessler tidak melihat insiden itu sebagai satu masalah.
"Saya tidak melihatnya sebagai satu masalah apabila seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun telah menembak mesingan sub, itu bukan masalahnya.
“Kita perlu lihat apa yang dilakukan oleh jurulatih yang mengajar dia, adakah dia memahami sepenuhnya sebelum memegang senjata api tersebut, dan jurulatih tersebut pula telah gagal kerana berada dalam kedudukan yang salah," katanya.
Bagaimanapun, wakil kumpulan ibu bapa yang menentang penggunaan senjata dari San Francisco, Laura Cutilletta menjelaskan insiden itu mendapat liputan luas dari media sendiri.
"Lapan belas kanak-kanak dan remaja bawah 24 tahun mati setiap hari di Amerika kerana kelemahan undang-undang senjata api. Kita juga maklum di negara ini, lebih 1.69 juta kanak-kanak berusia bawah 18 tahun tinggal di kediaman yang mempunyai senjata tidak berkunci.
"Sudah tiba masanya untuk berubah," jelasnya.
Sementara itu, identiti kanak-kanak dan keluarganya tidak didedahkan.
Menurut pendakwa raya, mereka tidak akan membuat pertuduhan ke atas kanak-kanak berkenaan.
#Amerika Syarikat #Charles Vacca #senjata #tembak #Uzi
;