Insiden gelora udara SIA: 131 penumpang, 12 kru tiba di Singapura melalui penerbangan gantian

Bernama
Mei 22, 2024 14:00 MYT
131 penumpang dan 12 kru pesawat SIA SQ321 yang terlibat insiden gelora udara tiba di Singapura dengan penerbangan gantian pada pagi Rabu. - Foto SPH/The Straits Times/Ariffin Jamar via REUTERS
SINGAPURA: Seramai 131 penumpang dan 12 kru pesawat Singapore Airlines (SIA) SQ321 yang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi petang Selasa, tiba di Singapura dengan penerbangan gantian pada 5.05 pagi Rabu.
Ketua Pegawai Eksekutif SIA, Goh Choon Phong berkata seramai 79 penumpang dan enam kru masih berada di Bangkok, termasuk mereka yang cedera yang sedang menerima rawatan perubatan serta keluarga mereka.
"Singapore Airlines akan terus memberikan semua sokongan yang mungkin kepada mereka. Singapore Airlines sentiasa di sini untuk membantu dan menyokong anda dalam masa sukar ini," katanya dalam mesej video yang dimuat naik di Facebook.
Penerbangan dengan 211 penumpang dan 18 kru itu dalam penerbangan dari London ke Singapura apabila ia menghadapi gelora udara yang tiba-tiba dan ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter kira-kira 10 jam selepas berlepas.
Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok, mendarat pada 3.45 petang waktu tempatan, Selasa.
Insiden itu menyebabkan seorang maut dan beberapa lagi cedera. Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Kittipong Kittikachorn sebelum ini berkata mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah seorang lelaki Britain berusia 73 tahun.
Sementara itu, Goh berkata syarikat penerbangan itu bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang berkaitan dalam siasatan.
"Bagi pihak Singapore Airlines, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan orang tersayang kepada mangsa yang meninggal dunia. Kami sangat kesal dengan pengalaman traumatik yang dialami semua orang di dalam penerbangan SQ321," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Menteri Pengangkutan, Chee Hong Tat berkata pegawai dari Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) telah tiba di Bangkok pada Selasa malam .
Kementerian Pengangkutan pada Selasa berkata TSIB sedang menyiasat kejadian itu.
Chee berkata Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat juga menghantar wakil bertauliah dan empat penasihat teknikal untuk menyokong siasatan, kerana insiden itu melibatkan pesawat Boeing 777-300ER.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Thailand atas sokongan mereka untuk memindahkan penumpang dan kru dengan memberikan bantuan perubatan dan menjaga mereka yang terjejas oleh insiden malang ini," katanya di Facebook.
-- BERNAMA
#Insiden gelora udara SIA #penerbangan SQ321 #pesawat Singapore Airlines #tiba di Singapura
;