Insiden cubaan bunuh, lakonan Trump semata-mata, dakwa netizen

Sinar Harian
Julai 14, 2024 15:10 MYT
Ada netizen mempertikaikan tindakan Trump yang masih mampu berdiri semula dan mengangkat tangan kepada para penyokongnya dengan lagak seperti wira. - Gambar/ AP
INSIDEN cubaan bunuh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump heboh diperkatakan di media sosial.

Ringkasan AI
  • Insiden cubaan bunuh bekas Presiden AS, Donald Trump di Pennsylvania menjadi topik hangat di media sosial dengan banyak teori konspirasi yang mendakwa ia telah dirancang sebagai 'stunt' untuk meningkatkan sokongan terhadap kempen pilihan raya beliau.
  • Trump mengalami luka pada telinga selepas terkena tembakan semasa berucap di Butler, Pennsylvania, dan walaupun terselamat, seorang peserta perhimpunan terbunuh dan dua lagi cedera; imej Trump yang masih mampu mengangkat tangan seperti hero menjadi tular.
  • Warganet memberikan pelbagai pandangan, ada yang menganggap insiden itu sebagai propaganda dan lakonan, sementara komentator berhaluan kanan, Tim Pool, mengecam dakwaan bahawa insiden itu adalah penipuan.

New York Post melaporkan muncul lambakan 'troll' di pelbagai platform yang mendakwa insiden tembakan itu sebenarnya telah dirancang.
Di platform X, pentaksub teori konspirasi menolak dakwaan cubaan membunuh bilionair hartanah itu sebagai 'stunt' untuk meningkatkan sokongan terhadap kempen pilihan raya beliau selepas 'Trump' dan 'staged' berada pada dua tangga teratas topik trending di platform X.
Seorang pengguna menulis di ruangan komen, 'ia ternyata kejadian yang sudah dirancang. Jelas sekali, penyerang tidak sepatutnya terlepas sasaran dengan mudah jika benar-benar berniat mahu membunuhnya.
"Beliau pula masih mampu berdiri semula dan mengangkat tangan kepada para penyokongnya lagak seperti hero. Jika situasi sebenar, Trump pastinya sudah menggigil ketakutan.'
Presiden ke-45 AS itu mengalami luka pada telinganya selepas terkena tembakan ketika beliau sedang berucap pada perhimpunan di Butler, Pennsylvania pada Sabtu.
Pemimpin sarat kontroversi dan dihimpit pelbagai kes jenayah berusia 78 tahun itu dilaporkan terselamat manakala seorang peserta perhimpunan berkenaan terbunuh dan dua lagi cedera.
Imej memaparkan gaya Trump yang masih gagah mengangkat tangannya seperti biasa dibuat pejuang demokrasi ketika diterpa ejen Perkhidmatan Rahsia dan anggota penguat kuasa undang-undang tempatan disebut sebagai 'ikonik' oleh para penyokong calon Presiden Parti Republikan tersebut.
Pengguna media sosial pula menggelar ia sebagai 'bladed' iaitu istilah gusti profesional yang dirujuk sebagai gimik untuk mencederakan diri sendiri dan mereka menyebut babak Trump itu sebagai 'skrip bodoh WWE'.
"Ia adalah gambar yang amat sempurna sehingga sukar untuk mempercayai ia bukan lakonan.
"Gambar terbaik untuk dekad ini. Benar-benar luar biasa," kata seorang lagi warganet menerusi pandangan yang berbeza.
Gambar kesan darah yang terpercik pada wajah Trump turut 'dianalisis' pengguna media sosial yang percaya ia adalah tembakan paintball.
"Tak mungkin tembakan boleh tersasar dan semua aksi beliau selepas ditembak jelas adalah propaganda," ujar salah catatan di ruangan komen.
Seorang warganet pula berpendapat 'drama' itu akan memberi kelebihan kepada Trump untuk meraih rangsangan politik ketika parti lawan, Demokrat yang diwakili Presiden Joe Biden dikritik banyak pihak.
Sementara itu, komentator berhaluan kanan, Tim Pool mengecam pihak yang mendakwa insiden tembakan itu sebagai penipuan.
"Istilah 'staged' telah menjadi trending. Mereka gelar Trump sebagai pemimpin tentera Nazi Jerman, Adolf Hitler.
"Mereka merusuh dan memusnahkan kariernya. Kini, mereka dakwa serangan itu dirancang pula," sindirnya.
Ketika ini, istilah 'delete' juga menjadi trending apabila kebanyakan warganet menggesa pentaksub teori konspirasi dan ahli politik Demokrat supaya memadamkan ciapan tentang kejadian tembakan itu. - Sinar Harian/ Agensi
#Donald Trump #tembakan #lakonan #staged #stunt #delete
;