Insiden Capitol: Trump buka mulut, kecam tindakan penyokong sendiri
Astro Awani
Januari 8, 2021 10:40 MYT
Januari 8, 2021 10:40 MYT
PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump dilihat mengalah kepada bakal presiden Joe Biden dengan mengecam penyokongnya yang bertindak ganas menyerang Capitol Hill.
Dalam mesej terbaharunya, Trump mengakui bahawa kongres telah mengesahkan keputusan akhir pilihanraya presiden tempoh hari dan pentadbiran baru akan dilancarkan pada 20 Januari ini.
Kata Trump, tumpuannya sekarang beralih kepada memastikan peralihan kuasa yang teratur dan lancar.
“Saya ingin mulakan dengan mengecam serangan keji terhadap Capitol Amerika Syarikat.
“Seperti semua rakyat Amerika, saya sangat marah dengan keganasan, pelanggaran undang-undang dan kekacauan. Saya telah segera mengerahkan Pengawal Nasional dan penguatkuasa undang-undang persekutuan untuk mengamankan bangunan dan mengusir penceroboh,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuatnaik di Twitter.
Tambah Trump, Amerika Syarikat perlu selalu menjadi negara yang mengambal undang-undang dan memperjuangkan ketenteraman.
“Para penunjuk perasaan yang menyusup ke Capitol telah mencemarkan kerusi demokrasi Amerika. Kepada mereka yang melakukan keganasan dan kemusnahan, anda tidak mewakili negara ini,” tegas Trump.
Bagaimanapun Trump tidak mengulas mengenai peranannya menghasut seperti yang didakwa ramai pihak dalam serangan di Capitol Hill pada Rabu.
“Kepada rakyat Amerika, menjadi presiden anda adalah satu penghormatan sepanjang hayat buat saya dan kepada semua penyokong saya yang hebat, saya tahu anda kecewa, tetapi saya juga ingin anda tahu bahawa perjalanan luar biasa kita baru bermula,” kata Trump.
Dalam kejadian pada Rabu, ratusan penyokong Trump mencetuskan rusuhan dan menceroboh bangunan Capitol.
Tindakan itu julung kalinya pernah terjadi dan ditayangkan secara langsung di televisyen.