Insiden buaian taman tema patah berulang, kali ini ragut dua nyawa
Agensi
Julai 15, 2019 19:35 MYT
Julai 15, 2019 19:35 MYT
Detik gembira pengunjung di sebuah taman tema bertukar ngeri apabila sebuah permainan buaian patah dua mengorbankan dua nyawa dan mencederakan 29 yang lain.
Detik mengerikan di Balvatika Amusement Park di barat India, pada Ahad itu berjaya dirakam pengunjung.
Rakaman video yang tular itu menunjukkan buaian yang dinamakan 'Discovery' patah dua apabila kabel galas bebannya terputus ketika permainan itu berayun kira-kira 20 kaki di atas tanah.
Ketika kejadian, dilaporkan 31 pengunjung sedang menaiki permainan yang kelihatan bergerak seperti ladung itu.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Manali Rajvadi, 24, dan Mohammed Zaid Momin, 22.
Laporan Daily Mail menyebut sekurang-kurangnya tiga daripada 29 yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Pihak berkuasa kini sedang mengumpul maklumat mengenai insiden dan beberapa wakil daripada taman tema berkenaan telah ditahan untuk siasatan.
Ketua Menteri Gujarat, Vijay Rupani telah memerintahkan siasatan ke atas kemalangan itu, selain mengarahkan pihak perbandaran untuk memberikan rawatan percuma kepada mangsa yang cedera.
Ini kejadian kedua membabitkan taman tema dalam tempoh tidak sampai sebulan.
Akhir Jun lalu, seorang gadis maut selepas permainan buaian 360 darjah yang dinaikinya patah dan terhempas ke tanah ketika sedang berputar dalam kejadian di taman tema Istiklol di Jizzakh, Uzbekistan.