Insiden bom bunuh diri di Baghdad ragut 32 nyawa
Agensi
Januari 2, 2017 19:00 MYT
Januari 2, 2017 19:00 MYT
Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dan 61 lagi cedera dalam serangan bom bunuh diri di kejiranan yang padat penduduk di Baghdad pada Isnin, lapor AFP.
Menurut polis dan pegawai hospital, kebanyakan mangsa ialah buruh harian yang menunggu pekerjaan di satu persimpangan di Sadr City, bandar yang majoritinya penduduk berfahaman Syiah di timur laut ibu negara yang telah berulang kali menjadi sasaran.
Kepulan asap hitam tebal menyelubungi sekitar kawasan ketika mangsa yang cedera parah dipindahkan dalam serangan kedua terbesar di Baghdad dalam tempoh tiga hari.
Terdahulu, sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dalam dua letupan di kawasan pasar yang sibuk di tengah Baghdad pada Sabtu, insiden yang disifatkan sebagai serangan paling dahsyat di ibu negara Iraq itu dalam tempoh dua bulan.